Ketika perdebatan berhubung istilah 'marital rape' atau rogol dalam perkahwinan mengikut konteks Islam masih diteruskan di kalangan ulama dan komuniti siber, ramai wanita muda Islam yang masih tidak tahu dan keliru mengenai hak seksual dalam sesebuah perkahwinan.
Satu kempen kesedaran rogol, anjuran bersama All Women's Action Society (Awam) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Yeo Bin Yin minggu lalu mencetuskan perdebatan hingga menjadi viral sama ada istilah 'rogol' sesuai digunakan bagi menggambarkan seseorang suami Islam memaksa isterinya melakukan hubungan seksual.
Ada yang berpendapat, kerelaan seorang isteri wajar diperoleh walaupun dalam konteks perkahwinan, ada juga berpandangan seorang wanita wajib menurut kehendak pasangannya kerana ia tanggungjawab isteri.
Ada antara mereka yang keliru dan kurang jelas mengenai hak daripada segi hubungan seksual dalam perkahwinan.
Wan Zulaikha Mohd Zakaria, 24, yang menghadiri kursus pra perkahwinan baru-baru ini berpandangan, tiada istilah rogol dalam hubungan suami isteri kerana baginya, perkara tersebut sebahagian daripada kewajipan seorang isteri terhadap suaminya.
Beliau berkata, sewaktu menghadiri kursus tersebut, ustaz yang memberi penerangan memberitahu mereka, walaupun tugas seorang isteri 'melayan' suami di katil, namun suami perlu memahami jika isterinya sangat penat.
"Walaupun syurga di bawah tapak kaki suami, suami perlu bertimbang rasa, kerana Islam itu memudahkan. Pasangan suami isteri boleh membincangkan perkara ini secara baik.
"Kalau penat, jangan paksa. Tetapi, bagi saya, tiada istilah rogol dalam perkahwinan, kerana itu memang tugas dan tanggungjawab seorang isteri," katanya kepada The Malaysian Insider.
Pengarah Eksekutif Sisters in Islam Ratna Osman berkata tidak jelas mengenai hak suami dalam hubungan perkahwinan yang mendorong kepada penganiayaan.
"Kita perlu benar-benar melihat apa sebenarnya yang diberitahu kepada pasangan muda bakal berkahwin. Adakah ia masih di tahap pemahaman zaman pertengahan mengenai amalan dalam perhubungan tersebut?" soalnya.
Katanya, disebabkan para ulama sangat menekankan mengenai peranan seksual seorang isteri dan bukannya menekankan tanggungjawab seorang suami, mereka secara tidak langsung mengambil perspektif 'patriarchal' (kebapaan) dalam Islam, yang sering kali tidak menjamin hak seorang isteri itu dilindungi.
"Ulama kita perlu lebih bertanggungjawab. Apabila mereka kata, isteri mesti patuh kepada suami, suami seperti mana yang mereka perlu taat?
"Adakah sekiranya seorang suami itu mahu melakukan hubungan seks, isteri mesti menurutinya? (Tetapi) kita bukan binatang.
"Allah berfirman dalam Al-Quran, hubungan antara suami dan isteri mesti mempunyai cinta dan kasih sayang, tetapi di manakah cinta dan kasih sayangnya apabila anda memaksa seseorang wanita untuk bersama?,” katanya.
Siti Rabiatul Adawiyah Sheikh Ibrahim, 25, yang bakal melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi berpendapat, berdosa bagi seorang suami memaksa isterinya untuk bersama, sama seperti isteri berdosa menolak kehendak seksual suami.
Rabiatul berkata, ketika berkursus mereka diajar, peranan seorang isteri ialah memuaskan keperluan zahir dan batin seseorang suami, tetapi suami tidak wajar memaksa isteri sekiranya mereka menolaknya.
"Bagi pendapat saya, apa yang saya faham, nafkah zahir dan batin kena diberi kepada suami 100%. Kalau suami minta seboleh-bolehnya kita beri. Tapi kalau sampai jatuh memaksa, kita boleh tegakkan hak kita sebagai isteri.
"Boleh jatuh sampai ke tahap rogol kalau suami memaksa dan pasangan tidak merelakannya. Itu dah dikira merogol. Dan saya setuju, dalam Islam ada kes seperti itu," katanya yang bertugas di sebuah firma guaman syariah.
sumber
No comments: