Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mempertahankan cara kepimpinannya, mengatakan beliau menumpukan kepada usaha membangunkan negara, bukan melayan tuduhan "yang tidak berapa betul hujung pangkalnya."
Dalam posting terbaru di blognya, sebagai perutusan Hari Pekerja, beliau mengatakan pada era media sosial ini, isu senang tersebar tanpa batasan.
"Melayan isu-isu ini pada setiap masa hanya akan mengalihkan tumpuan saya daripada usaha memajukan negara.
"Bagi meningkatkan produktiviti, kita perlu fokus pada pekerjaan," katanya.
Najib juga menyebut pencapaian Putrajaya, mengatakan dalam tempoh lima tahun yang lalu, projek Mass Rapid Transit (MRT) hampir 60% siap, kunci rumah yang dibina di bawah skim perumahan PR1MA diserahkan dan Jambatan Kedua Pulau Pinang siap dibina.
Katanya, sektor ekonomi juga kini membuka peluang kepada 1.5 juta pekerjaan baru sejak 5 tahun ini.
Katanya, program pembangunan modal insan seperti Tekun, Superb, Teraju, 1Azam dan Seed semua mula menghasilkan bakat sumber manusia yang berkualiti dan berjaya.
"Program transformasi seperti inilah lebih mustahak dalam meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat Malaysia," katanya.
Beliau juga berkata akan terus memberikan mengenai isu berbangkit dari masa ke semasa.
"Namun jangan sampai kita hilang fokus kepada tanggungjawab yang diamanahkan kerana terlalu asyik dengan isu yang dibangkitkan yang tiada penghujungnya," katanya dalam mesej ringkasnya.
Beberapa bulan kebelakangan ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Najib meletak jawatan kerana beberapa isu termasuk skandal syarikat 1Malaysia Development Berhada (1MDB), isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Beliau juga meminta Umno menyingkirkan Najib atau menghadapi risiko Barisan Nasional kalah pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, Najib selepas membentangkan laporan Program Transformasi Kerajaan pada Selasa, berkata beliau tidak akan menyerah kalah, dan pentadbiran kerajaannya mengamalkan ketelusan.
No comments: