» » Berapa lama lagi Ahmad Maslan perlu jadi badut untuk pertahankan Najib Razak ?


Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menarik perhatian sekali lagi atas kenyataannya dalam isu harga kad tambah nilai telefon prabayar.

Kenyataannya minggu lalu bercanggah dengan pendirian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa masuk campur dan meminta isu itu hanya diputuskan oleh Ahmad Shabery sahaja.

Najib membuat arahan itu minggu lalu secara terbuka di Twitter.
Dari satu segi, ia boleh dilihat sebagai teguran terbuka yang mencalar imej Ahmad.

Dari situ, timbul persoalan jika perdana menteri sudah tidak percaya lagi kepada timbalan menterinya yang mungkin paling gigih mempromosi agenda cukai barangan dan perkhidmatan (GST)?

Keadaan ini tidak membantu Ahmad kerana beliau sememangnya menjadi sasaran kemarahan pengguna – semenjak sebelum penguatkuasaan GST lagi.

Jadi modal jenaka lebih nakal

Akibat asakan ramai itu, Ahmad terpaksa mempertahankan dirinya bahawa beliau tidaklah “sebodoh” yang disangka pihak tertentu.

Beliau turut mengumumkan keputusan yang dicapainya di universiti, bagi menguatkan lagi hujah berkenaan.

Malangnya, pencapaian CGPA 3.85 Ahmad itu tidak meyakinkan para pengguna media sosial, malah menjadi modal lawak jenaka yang lebih nakal.

Apatah lagi, penguatkuasaan GST kini sudah masuk bulan yang kedua namun isu harga yang patut dikenakan ke atas jualan kad tambah nilai itu masih juga belum selesai.

Selain teguran terbuka daripada perdana menteri, Ahmad juga terpaksa menanggung malu kerana penjelasannya mengenai GST mengundang cemuhan dari bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

Itulah padahnya kerana Ahmad berkata, kebimbangan yang disuarakan Mahathir ke atas GST mungkin timbul kerana bekas PM itu tidak faham mengenai cukai tersebut.

Jawab Mahathir, beliau sememangnya tidak faham dengan penjelasan Ahmad, dan timbalan menteri itu menurutnya “tidak tahu apa-apa mengenai hal kewangan”.

Selain isu GST, Ahmad istiqamah dalam usaha mempertahankan Najib dalam isu pentadbiran dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dari segi ini, Ahmad boleh dikira sebagai timbalan menteri yang bukan calang-calang juga kerana tidak ramai para pemimpin BN yang sanggup membuka mulut untuk bercakap mengenai 1MDB.

Ini kerana, persoalan mengenai dana 1MDB bernilai berbilion ringgit masih belum terjawab.

Persoalan ini, jika hanya dibangkitkan dari kem pembangkang, mungkin hanya akan melenturkan sentimen dari penyokong pihak lawan BN dan golongan atas pagar.

Namun, isu 1MDB dibangkitkan oleh Dr Mahathir sendiri, yang sememangnya disegani di kalangan ahli Umno.

Tidak hairanlah bila ada cawangan Umno terpaksa dibubarkan kerana mula mempersoalkan dasar kerajaan.

Menurut Mahathir, beliau masih tidak dapat mengesan sejumlah RM27 bilion dari keseluruhan RM42 bilion yang dipinjam 1MDB.

Persoalannya, adakah Ahmad mampu menawarkan jawapan yang ditagih Dr Mahathir? Sejauh mana beliau sanggup mempertahankan Najib dalam isu 1MDB?



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .