» » Adakah Najib Razak semakin dihimpit ke garisan penamat ?


Kecuali bagi manusia seperti Datuk Ahmad Maslan, rasanya tiada yang merasakan Malaysia berada dalam keadaan yang baik.

Kebanyakan rakyat Malaysia berasa risau dan marah kerana beban GST dan skandal 1MDB, antara yang lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memerintah dengan mandat 47% nyata sekarang tiada sokongan 47% pun apabila dia semakin kehilangan sokongan dalam parti.

Malaysia boleh dikatakan berada dalam krisis politik yang semakin mendalam tetapi apakah sebabnya?

Secara ringkasnya, diagnosisnya boleh diringkaskan kepada dua perkara: kelemahan pemimpin dan kelemahan institusi.

Hampir dalam segala perbincangan sekarang, apa yang kita sedang lihat adalah kelemahan pemimpin atau personaliti – segala-galanya kerana Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Cara penyelesaian menjadi begitu ringkas sekali – gantikan Najib dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (cadangan Dr Mahathir) atau Tengku Razaleigh Hamzah (cadangan Zaid Ibrahim yang turut disahut oleh pihak yang lain), dan secara tidak langsungnya, gantikan Rosmah dengan Puan Sri Norainee Abdul Rahman atau Cik Puan Nur Abdullah.

Dua perubahan pasti berlaku, satu lagi tidak pasti

Ada 2 perkara yang pasti akan berlaku dan satu lagi perkara yang kemungkinan besar akan berlaku jika Najib dijatuhkan tanpa pilihan raya semula.

Pertama, skandal 1MDB akan disiasat dan Jho Low akan diambil tindakan. Apa yang dibocorkan oleh Sarawak Report akan muncul di Utusan Malaysia, New Straits Times and TV3 setiap hari.

Mungkin ada ahli politik kanan serta kerabatnya dan kroninya yang akan bersara di luar negeri.

Kedua, bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) di Jabatan Perdana Menteri akan ditutup selama-lamanya.

Perdana menteri baru dan keluarganya akan mengamalkan cara hidup yang kurang mewah. Tiada lagi kenduri perkahwinan kelas “diraja” untuk “putera” atau “puteri” di Sri Perdana.

Perkara yang kemungkinan besar tetapi tidak janji akan berlaku ialah pembatalan GST.

Daripada pembatalan, perdana menteri baru mungkin menurunkan kadarnya daripada 6% kepada 2%-3% dan berjanji tidak akan naik dalam masa 3 tahun dan sebagainya.

Alasannya pelaburan untuk membina infrastruktur cukai baru itu akan disia-siakan.

Kerajaan memerlukan hasil untuk operasianya untuk mengurangkan defisit fiskal (belanjawan) yang banyak disumbangkan oleh ketirisan. Dan sememangnya GST kaedah pencukaian yang lebih cekap.

Dr Mahathir sekarang mengecam Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai pemancingan undi, tetapi apakah perdana menteri baru yang direstuinya itu akan menghentikan segala “bantuan” tunai yang boleh mengambil hati pengundi?

Dua cara perdana menteri baru boleh dihasilkan tanpa PRU

Bagi seorang perdana menteri baru untuk menjalani perubahan yang penting tetapi tinggi risiko politiknya, beliau mesti mempunyai mandat yang kuat.

Kalau beliau tidak dilahirkan daripada pilihan raya umum (PRU) baru, nampaknya ia cuma boleh lahir dalam dua cara: “pemberontakan” dalam Umno sendiri sehingga Najib terpaksa meletak jawatan; kerjasama antara puak anti-Najib dalam Umno dan BN dan parti-parti pembangkang yang mungkin membawa kepada kerajaan campuran baru.

Cara pertama sememangnya yang diinginkan oleh Dr Mahathir. Hujah utama dalam serangannya ke atas Najib ialah untuk menyelamatkan Umno daripada kegagalan dalam pilihan raya akan datang.

Apakah cukup untuk perdana menteri baru – misalnya Muhyiddin – mengurangkan pembaziran dan rasuah untuk memperkasakan Umno?

Kalau kekalkan kuasa Umno itu “tugasan” daripada Dr Mahathir, maka beliau mungkin menutup mulut rakyat dengan memenjarakan lebih ramai wakil rakyat pembangkang dan aktivis NGO sebelum menutup ketirisan dalam sistem penyampaian kerajaan.

Apakah ini akan membawa kestabilan politik dan dasar ekonomi yang mampan dan berani? Sudah tentu tidak.

Bagaimana pula dengan cara kedua iaitu penghasilan kerajaan campur?

Persoalannya, parti mana yang akan dirangkumi dan parti mana yang akan dikecualikan?

Kalau semua dirangkumi – seolah-olah pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1974 (ketika itu cuma DAP dan Sarawak Nasional Party (SNAP) yang kekal sebagai pembangkang) – apakah parti-parti yang begitu lain agenda mereka mungkin mencapai kemuafakatan?

Apakah asas untuk parti-parti ini percayai sesama sendiri?

Kalau tidak semua yang dirangkumi, maka kerajaan baru itu mungkin menjadi lebih autoritarian, seperti mana jika Umno gulingkan Najib dengan tekad untuk mengekalkan kuasa, tidak kira apa kosnya.

Parti-parti yang dikecualikan daripada kerajaan campuran baru akan mencari sebarang kelemahannya untuk mengutuknya.

Parti-parti dalam kerajaan campuran baru itu pula mempunyai insentif untuk menekan parti lawannya dengan cara kuku besi.

Apakah ini bermaksud kita terpaksa bertoleransi dengan pemerintahan Najib tidak kira bagaimana teruknya ia menjadi sehinggalah PRU14?

Mengapa institusi kita lemah?

Masalah kita sebenarnya lebih kerana kelemahan institusi daripada kelemahan peribadi.

Sebab pokok mengapa “pemuafakatan” baru begitu sukar dicapai untuk menggulingkan Najib ialah kerana sistem politik kita amat bersifat “winner-takes-all”.

Apabila pemenang mendapat segala-galanya, setiap pihak akan takutkan dirinya dipinggirkan dan dikecualikan.

Maka, tidak mungkinlah berlakunya “perjanjian budiman” (gentlemen’s agreement) yang bersifat sementara.

Sifat “pemenang mendapat segalanya” ini sebenarnya sebab mengapa pemerintahan Najib semakin menjadi bencana kepada rakyat Malaysia.

Secara spesifiknya, kita ada 4 masalah besar institusi:

(a) pilihan raya yang tidak adil dan tidak bebas;
(b) Parlimen yang tidak dapat menyemak dan mengimbangkan kuasa eksekutif; 

(c) badan kehakiman dan badan penguatkuasa yang tunduk kepada kuasa eksekutif; dan
(d) sekatan ke atas kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang melemahkan media dan masyarakat sivil.

Kalau bukan pilihan raya yang tidak adil dan tidak bebas, mungkinkah Najib berkuasa sampai sekarang dengan sokongan rakyat 47%?

Kalau parlimen dapat berfungsi untuk meneliti keputusan kerajaan dengan pelbagai jawatankuasa, mungkinkah skandal 1MDB ditutup sampai menjadi padah dan sampai hari masih banyak bergantung kepada Sarawak Report yang beroperasi di luar Malaysia untuk mencari bukti penyelewengannya?

Kalau badan kehakiman dan badan penguatkuasa kita berintegriti, mungkinkah orang yang menyuruh supaya Altantuya Shaariibuu itu dilepaskan sampai hari ini?

Kalau media dan masyarakat sivil kita tersekat, bukankah sudah lama rakyat membangun untuk menuntut pembetulan dan hukuman untuk mereka yang berbuat salah?

Komentar ini bukan untuk membela atau menyokong Najib.

Rencana ini ingin mengingatkan masalah kita bukan sekadar pada kelemahan pemimpin yang tidak dapat kawal diri apabila berkuasa, tetapi lebih lagi kelemahan institusi yang tidak dapat kawal pemimpin yang gilakan dan salah gunakan kuasa.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .