Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Ketua pemuda Umno itu berkata, walaupun Putrajaya sedang berdepan waktu sukar dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi itu tidak memberi gambaran kekalahan BN dalam pilihan raya akan datang.
"Kita tidak setuju. Kalau kita setuju saya tidak akan menyatakan sokongan dan keyakinan Pemuda dan saya sebagai menteri kepada kepimpinan Najib.
"Sudah pasti kita sedang melalui satu keadaan yang agak sukar kerana kita baru saja melaksanakan GST. Kita pun tahu dalam pelaksanaan GST ini akan mengundang ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat.
"Tetapi janganlah sampai kita buat kesimpulan oleh kerana apa yang sedang kita lalui hari ini bermaksud kita akan kalah pilihan raya di bawah Najib," katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Khairy berkata segala yang dibangkitkan Dr Mahathir perlu dijawab kerajaan kerana jika dibiarkan, ia akan dipandang serius rakyat.
Katanya, walaupun Dr Mahathir membangkitkan persoalan sama dan pernah dijawab sebelum ini, jawapan kali ini perlu lebih terperinci.
"Saya harap mereka yang ada jawapan boleh tampil ke hadapan termasuk saya menteri. Kita akan turun ke bawah memberi jawapan kepada perkara yang dibangkitkan secara spesifik.
"Dr Mahathir ada pengaruh besar di kalangan rakyat terutama kalangan orang muda. Kalau kita tak jawab apa yang dibangkitkan, maka mereka akan mendapat persepsi tak betul.
"Sebab bagi setiap isu yang dibangkitkan Dr Mahathir ada jawapannya. Pernah diberi jawapan tetapi perlu diulang dengan lebih mendalam lagi," katanya.
Dr Mahathir pada Khamis melontarkan kritikan paling keras terhadap Najib mengatakan rakyat Malaysia tidak mempercayai perdana menteri itu dan meramalkan kejatuhan kerajaan pemerintah BN dalam PRU14 sekiranya presiden Umno itu terus berkuasa.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu tahun lalu menarik balik sokongannya kepada Najib dan menyerunya meletak jawatan.
"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.
"Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula," tulis Dr Mahathir dalam blog chedet.cc .
sumber
No comments: