Malaysia mungkin mencapai tahap pendapatan tinggi menjelang tahun 2020, bagaimanapun Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melihat ia jaminan negara sudah mencapai status negara maju.
Bekas perdana menteri itu berkata, kemajuan sesebuah negara tidak dilihat semata-mata kepada pendapatan penduduknya tetapi sebaliknya, perlu dibentuk mengikut acuan sendiri.
"Ia bukan semata-mata mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, atau pendapatan per kapita. Ini sahaja tidak bermakna kita sudah maju.
"Jika begitu, negara seperti Arab Saudi dan Brunei boleh dikatakan maju," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Malaysia Social Media Week di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Dr Mahathir, rakyat Malaysia mungkin memiliki pendapatan per kapita yang tinggi menjelang tahun 2020 tapi tidak menjadi negara maju.
Beliau turut mengakui kesilapannya semasa melancarkan Wawasan 2020 di mana pentadbirannya semasa itu tidak menggariskan definisi sebenar negara maju.
"Saya buat kesilapan pada 1991 semasa melancarkan Wawasan 2020 kerana saya hanya berkata, Malaysia akan menjadi negara maju pada 2020, tetapi saya tidak jelaskan makna negara maju itu," katanya.
Bagi Dr Mahathir, sesebuah negara itu dilihat maju berasaskan tahap ketamadunan sesebuah masyarakat, tahap keadilan dan demokrasi sesebuah negara itu.
Pada 1991, Wawasan 2020 diperkenalkan dengan objektif menjadi negara maju menjelang tahun 2020 dengan acuan sendiri. Ia menggariskan hala tuju untuk mencapai status negara maju dengan menyasarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 7% setahun sehingga tahun 2020.
Fasa ketiga Wawasan 2020 dilaksanakan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilancarkan pada 2010, merangkumi tempoh masa dari 2011 hingga 2020.
MBE, yang akan menjadi pemangkin dalam menjana potensi pertumbuhan negara, mempunyai matlamat utama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menekankan kepada tiga dimensi iaitu pendapatan tinggi, kemapanan dan keterangkuman, yang menekankan kepada golongan berpendapatan 40% terendah.
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dijadualkan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bulan depan di Parlimen dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
No comments: