» » 'Akta Hasutan sebenarnya diwujudkan untuk menghalang rakyat daripada menyebarkan kebencian'


Mahathir Mohamad hari ini berkata tindakan Putrajaya menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk mengekalkan kuasa ialah langkah yang tidak betul, selepas beberapa pindaan ke atas akta itu dilihat menekan dan menutup mulut pengkritiknya.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, undang-undang tersebut yang digubal semasa zaman penjajah tidak sewajarnya digunakan ke atas mereka yang mengkritik kerajaan termasuk mereka yang meminta kerajaan ditukar.

"Jika anda (kerajaan) menggunakan undang-undang tersebut untuk kekal berkuasa contohnya, saya rasa ia tidak baik," kata Dr Mahathir pada sesi soal jawab dalam program 'Malaysia Social Media Week' di Kuala Lumpur hari ini.

"Tetapi malangnya, Akta Hasutan digunakan untuk tujuan yang salah. Akta itu sebenarnya digunakan untuk menghalang rakyat daripada menyebarkan kebencian, seperti perang saudara dan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Tapi jika kamu kata kerajaan tidak memerintah dengan baik, dan kita patut tukar pemimpin, itu bukan menghasut," katanya.

Menurut Dr Mahathir, melihat kepada situasi yang berlaku sekarang, undang-undang tersebut dilihat lebih cenderung menghukum individu walaupun ia sebenarnya bukan bertujuan untuk menghasut.

"Malangnya, wujud kecenderungan untuk menyalahguna akta tersebut. Ia akta yang baik sekiranya digunakan hanya untuk perkara berbentuk hasutan," katanya.

Pindaan Akta Hasutan pada 9 April lalu yang diluluskan Putrajaya di Dewan Rakyat termasuk memberi kuasa kepada mahkamah mengharamkan pengedaran penerbitan yang dianggap menghasut.

Selain itu, mana-mana penerbitan yang boleh membawa mudarat kepada tubuh badan atau harta benda, atau dilihat menimbulkan niat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama, juga dianggap menghasut.

Mahkamah juga boleh mengarahkan pihak berkuasa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia memadam bahan hasutan atas talian yang dimuat naik individu yang tidak dikenal pasti.

Pindaan akta ini mengundang kritikan peguam dan ahli politik pembangkang yang menganggapnya sebagai "serangan" terhadap kebebasan bersuara dalam masyarakat demokratik.

Akta kontroversi dikritik susulan beberapa pendakwaan yang dibuat terhadap pemimpin pembangkang, pensyarah, aktivis dan wartawan hanya kerana kecenderungan lantang mengkritik pemerintah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .