Selepas Datuk Zaid Ibrahim dan bekas setiausaha Datuk Seri Najib Razak mencadangkan nama ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri baru, hari ini giliran veteran DAP Lim Kit Siang pula menyokong cadangan itu.
Menurut ahli Parlimen Gelang Patah itu, sokongannya terhadap bekas menteri kewangan itu dibuat kerana Razaleigh adalah seorang pemimpin yang boleh diterima kedua-dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Ia juga katanya, selaras dengan agenda 'Selamatkan Malaysia' untuk keluar daripada pelbagai kemelut yang melanda negara sekarang.
"Saya menyebut banyak nama, dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah di kalangan 222 ahli Parlimen sekarang yang boleh dipertimbangkan sebagai calon perdana menteri bagi gabungan ‘Selamatkan Malaysia’ ini - dan Tengku Razaleigh adalah salah seorang daripada mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, jika ia tidak dilakukan, pilihan lain yang ada buat negara ini ialah mengadakan pilihan raya umum yang baru.
"Sama ada jalankan pilihan raya umum, atau 222 orang ahli Parlimen yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-13 boleh memilih untuk melangkau garis perkauman, agama serta kepartian dan melantik seorang perdana menteri untuk ‘Selamatkan Malaysia’, yang komited mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan sebagai satu cara hidup Malaysia dan contoh kepada dunia," kata penasihat ahli Parlimen DAP itu lagi.
Lim turut menyenaraikan beberapa situasi yang mewajarkan penggantian perdana menteri atau pilihan raya umum baru itu diadakan.
"Malaysia ternyata menjadi daerah tidak bertuan. Belum pernah lagi negara ini begitu uzur dan terdera dengan begitu banyak krisis.
"Skandal kewangan RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad, 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan bermula 1 April, polarisasi kaum terburuk dalam sejarah negara dengan peningkatan ekstremisme dan sikap tidak toleran seperti yang terlihat dalam insiden salib di Taman Medan Selangor; hilangnya keyakinan dalam dan luar negeri terhadap perdana menteri; krisis besar di kedua-dua gabungan politik utama dalam negara - BN dan PR; dan paling utama sekali, masa depan dan survival Perlembagaan Merdeka 1957 serta Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan, tugas memilih perdana menteri baru bukan hanya terletak dalam tangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Untuk memikul tugas yang hebat ini, kita haruslah bersedia untuk mengesampingkan segala perbezaan dan menumpukan seluruh tenaga terhadap satu agenda bersama, untuk menyelamatkan Malaysia daripada semua anasir yang mengancam untuk memecah belah dan menghancurkan negara," katanya.
sumber
No comments: