» » 'Saya sedia terima kritikan yang membina'


Susulan kecaman berterusan dibuat terhadap pentadbirannya, khususnya daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, beliau sedia menerima kritikan daripada sesiapa saja tetapi ia mestilah membina.

Perdana menteri berkata, hanya dengan kritikan membina, sesebuah pentadbiran dapat membetulkan kesilapan dan membaiki kelemahan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat.

"Namun, harus barang diingat, apa jua bentuk kritikan dan saranan, perlulah bersifat membina dan tidak semberono atau main melulu hentam saja.

"Kerana hanya dengan kritikan dan saranan yang membina, barulah kita mampu memperbetulkan, mengislah dan memperbaiki segala yang kurang dan kelemahan yang wujud di sana sini," kata Najib pada majlis Pelancaran Laporan 2014 Program Transformasi Kerajaan malam ini.

Dalam ucapannya juga, Najib menyifatkan jika kritikan tersebut disampaikan secara melulu, ia akan memberi kesan kepada pembangunan negara sekali gus menyebabkan rakyat terkeliru.

"Proses pembangunan negara akan menjadi terganggu, kacau bilau dan boleh merumitkan keadaan, sekali gus mengelirukan rakyat," katanya.


Najib berkata, usaha ke arah membangunkan negara dapat dilihat menerusi program transformasi yang dijalankan kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berlandaskan maklum balas daripada rakyat yang diterjemahkan untuk kepentingan rakyat.

"Dalam bahasa mudah budak-budak sekarang, apa yang pentadbiran kerajaan sedang buat kini, bukanlah yang syok sendiri.

"Sebaliknya, segala perencanaan ini berlandaskan maklum balas dan proses merundingkan lapisan masyarakat," katanya.


Najib berkata, hasil kedua-dua program transformasi itu membawa kepada pembentukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang akan memainkan peranan dalam memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Antara inisiatif utama kerajaan sejak September 2009 ialah menubuhkan Pemandu di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

"Tujuan utama dan objektif Pemandu di bawah lembayung Dasar Transformasi Negara atau DTN, adalah menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudah cara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan GTP dan ETP. Ini semua dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan ekonomi maju menjelang fajar 2020 atau lebih awal dari itu," katanya.

Najib juga menggariskan pencapaian sepanjang di bawah pentadbirannya, seperti peningkatan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dan jumlah pelaburan yang meningkat sejak 2009.

"Pendapatan per kapita rakyat Malaysia meningkat daripada AS$7,059 pada 2009 kepada AS$10,436 pada 2014.

"Kedua, nilai pelaburan kekal tinggi dengan pelaburan RM142 bilion pada 2009 dan meningkat kepada RM228 bilion pada 2014. Ketiga, 1.5 juta pekerjaan diwujudkan setakat 2014 dalam sektor NKEA sejak 2010 , keempat lebih 5 juta rakyat di kawasan luar bandar mendapat manfaat kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih sejak GTP dan ETP diperkenalkan dan kelima, hampir 170,000 golongan miskin berjaya dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Najib berkata, beliau yakin pentadbirannya mampu membawa negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi dengan meletakkan 3 sasaran dalam usaha berkenaan iaitu mencapai pendapatan per kapita rakyat AS$15,000, mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan dan memperoleh AS$444 bilion pelaburan menjelang 2020.

Kebelakangan ini, kritikan dan kecaman terhadap pentadbiran Najib semakin kuat kedengaran, malah ia datang daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyerangnya secara terbuka.

Dr Mahathir juga tidak yakin dengan keupayaan Najib membawa Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020, malah mengkritik secara terbuka dengan mengatakan sesebuah negara maju bukan dilihat semata-mata pada pendapatan per kapita tetapi mestilah mengikut acuan negara itu sendiri.

Dr Mahathir menyenaraikan pelbagai tuduhan terhadap Najib dan mendakwa jawapan yang diberikan tidak mencukupi.

Antaranya membabitkan perkara seperti pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan dakwaan salah seorang pembunuh dalam kes itu, Sirul Azhar Umar yang juga bekas pengiring Najib.

Beliau turut membangkitkan skandal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencatatkan kerugian hampir RM42 bilion.

Dr Mahathir juga mempersoalkan keborosan dan beberapa polisi yang diperkenalkan Najib yang dianggap merugikan negara dan punca kerajaan Barisan Nasional lemah ketika ini.

Pemerhati melihat keadaan dan kritikan berterusan ini akan memberikan kesan kepada kerajaan pemerintah jika tidak ditangani segera.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .