» » Saran komuniti perniagaan beri tumpuan kepada produktiviti dan inovasi


Datuk Seri Najib Razak menggesa komuniti perniagaan supaya memberi lebih tumpuan kepada produktiviti dan inovasi dalam menjalankan organisasi mereka.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua elemen itu perlu diberi keutamaan paling tinggi dalam menjalankan organisasi kerana ia merupakan kunci kejayaan dalam persekitaran ekonomi yang sangat kompetitif pada masa kini.

"Setiap tahun, beberapa organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Institut Pembangunan Pengurusan Switzerland menerbitkan laporan daya saing global, yang membandingkan keupayaan negara untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

"Saya berbangga untuk mengatakan bahawa ketiga-tiga organisasi ini telah mengeluarkan laporan yang menunjukkan bahawa usaha kita untuk meningkatkan daya saing telah memberi kesan," katanya semasa berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2014 di Kuala Lumpur, malam ini.

Beliau berkata, semua peningkatan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa inisiatif yang dilaksanakan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), bersama-sama dengan kerjasama sektor awam dan swasta melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

"Peningkatan Malaysia dari segi daya saing global merupakan berita yang amat dialu-alukan. Bagaimanapun negara-negara lain juga, sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan mereka," katanya.

Perdana Menteri juga menggalakkan syarikat-syarikat tempatan agar mengambil kesempatan sepenuhnya daripada pelbagai peluang pasaran Asean, yang hanya menunggu untuk direalisasikan.

"Kita hidup dalam pasaran serantau dengan 620 juta penduduk - satu jumlah yang jauh lebih besar daripada Kesatuan Eropah.

"Sahut cabaran untuk bergerak melangkaui sempadan negara, dan saya memberi jaminan yang kerajaan akan memberi sokongan yang diperlukan untuk membina dan berkembang di rantau yang semakin cergas ini," katanya.

Walaupun persekitaran ekonomi global terus mencabar tahun ini, Najib kekal optimis bahawa Malaysia boleh mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang stabil antara 4.5 dan 5.5 peratus, berdasarkan asas-asas kukuh ekonomi negara dan kerjasama komuniti perniagaan tempatan.

Sementara itu, Najib berkata, AKI mencerminkan matlamat bersama sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan Malaysia terus memainkan peranan penting dalam ekonomi global.

"Pencapaian mereka yang diberi penghargaan malam ini mewakili cita-cita dan aspirasi bukan sahaja mereka yang berkepentingan tetapi juga semua rakyat Malaysia," tambahnya.

Siri AKI yang bermula pada 1991 diperkenalkan Kementerian Perdagangan dan Industri dengan matlamat mengiktiraf syarikat berprestasi cemerlang dan menggalakkan syarikat untuk terus meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, anugerah itu mendapat reputasi sebagai program pengiktirafan korporat utama negara.

Di antara pemenang AKI 2014 ialah Sunway Integrated Properties Sdn Bhd, yang menerima Anugerah Perdana Menteri, Petzl Manufacturing Sdn Bhd memenangi Anugerah Harapan Terbaik manakala Anugerah Sektor Pengeluaran (Kategori 1) diraih oleh PHN Industry Sdn Bhd.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Timbalannya, Datuk Hamim Samuri dan Datuk Lee Chee Leong.

sumber




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .