Impak pasca Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada minggu depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Mesyuarat itu akan turut mengetengahkan implikasi pelaksanaan GST yang mula dikuatkuasakan 1 April lepas terhadap pertumbuhan negara, perbelanjaan pengguna, aktiviti pelaburan serta inflasi.
"Ia (impak GST) sememangnya sedang dipantau. Kita juga dalam persekitaran yang mana harga minyak mentah yang rendah dapat mengimbanginya (impak berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Biasiswa Kijang Emas pada satu majlis di Kuala Lumpur, hari ini.
Zeti diminta mengulas sama ada wujud sebarang petanda awal mengenai peningkatan harga barangan yang lebih pantas daripada jangkaan berikutan pelaksanaan GST serta kenaikan kos di peringkat global.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman 169 negara yang telah melaksanakan GST atau cukai nilai tambah itu, kesan atau implikasinya akan hanya ketara pada tahun pertama pelaksanaannya.
Tegas Zeti, ia lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua tahun sebelum sesuatu cukai baharu itu dapat disesuaikan dan stabil.
Malah, ketika ada negara yang dapat menguruskannya dengan lebih pantas, negara lain sebaliknya memerlukan masa lebih panjang.
sumber
No comments: