» » Malaysia Insider ditahan lantaran balas dendam kerana dedahkan skandal 1MDB ?


Seorang wakil rakyat DAP menyifatkan tangkapan mengikut Akta Hasutan yang melibatkan eksekutif The Edge dan pengarang The Malaysian Insider (TMI) sebagai "cubaan yang tidak berapa berjaya" pihak berkuasa bagi menekan media supaya berhenti daripada terus mengeluarkan laporan mengenai rasuah dan skandal kewangan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bertanya sekiranya tindakan itu sebenarnya berkaitan laporan TMI dan The Edge mengenai skandal, termasuk menyentuh 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dana pelaburan strategik yang dimiliki kerajaan.

"Mereka memainkan peranan penting menghubungkan semua fakta relevan berkenaan bagaimana 1MDB mengumpul sejumlah RM42 bilion hutang dalam masa 5 tahun dan mengetengahkan penipuan yang terlibat, menyebabkan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu tidak mampu walaupun untuk melunaskan khidmat bayaran hutangnya.

"Laporan itu mendedahkan dakwaan wujud salah urus dan salah laku kewangan dalam firma itu dan melibatkan taikun perniagaan Jho Low (Low Taek Jho), yang rapat dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

TMI juga memetik pendedahan dibuat laman web pemberi maklumat Sarawak Report berhubung 1MDB, termasuk baru-baru ini mengenai pertukaran emel antara syarikat itu dengan Low dan PetroSaudi.

Pua, yang juga setiausaha publisiti DAP, berkata pendedahan itu boleh mengakibatkan kerosakan teruk terhadap reputasi Najib dan mengancam kedudukannya.

Katanya, rakyat biasa akan tertanya-tanya kenapa TMI secara khususnya menjadi sasaran selepas tiga pengarangnya ditangkap dua hari lalu serta ketua eksekutifnya dan penerbit The Edge ditahan semalam.

"Secara khusus, ia dilihat sebagai tindakan balas dendam terhadap The Edge Media Group kerana tidak henti-henti mengorek cerita hingga ke dasarnya berhubung skandal kewangan RM42 bilion 1MDB."

Tiga pengarang kanan portal itu - pengarang urusan Lionel Morais, pengarang berita bahasa Amin Iskandar dan pengarang analisis dan rencana Zulkifli Sulong ditangkap petang Isnin selepas pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) datang ke bilik berita TMI di pejabat The Edge Media Group di Mutiara Damansara.

Mereka ditahan dilokap semalaman berhubung satu laporan TMI dikeluarkan pada 25 Mac mengatakan Majlis Raja-raja menolak cadangan meminda Akta 355 bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Pagi semalam, penerbit The Edge Ho Kay Tat dan ketua eksekutif TMI Jahabar Sadiq juga ditangkap selepas menghadirkan diri di balai polis Dang Wangi bagi direkodkan kenyataan mereka berkaitan perkara sama.

Morais, Amin dan Zulkifli dibebaskan dengan ikat jamin malam tadi selepas majistret menolak permohonan polis menahan reman mereka untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Ho dan Jahabar masih ditahan sambil menunggu permohonan reman polis hari ini.

Pua berkata, buat pertama kalinya, lima orang dari kumpulan media yang sama ditangkap dan ditahan untuk siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung satu artikel berita.

Katanya, tangkapan dan penahanan itu tidak perlu dan keterlaluan, lebih-lebih lagi apabila mereka bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dan tidak wujud sebarang ancaman akan melarikan diri.

Katanya, mereka juga tidak perlu ditahan reman kerana polis hanya perlu beberapa jam untuk mengambil kenyataan mereka.

Pua mendakwa, polis menggunakan "pendekatan dan tindakan yang sangat keras" untuk menakut-nakutkan wartawan dan agensi berita yang melaporkan mengenai skandal di negara ini.

"Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mesti berhenti menyalahgunakan kuasa polis menganiaya mereka yang berada di 'Fourth Estate' (golongan media) dan masyarakat sivil.

"Mereka ini hanya semata-mata menjalankan hak mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan bertindak sebagai 'check and balance' (semak dan imbang) yang berkesan kepada kerajaan hari ini sejajar dengan persekitaran politik yang demokratik dan progresif," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .