Lembaga pengampunan diraja menolak petisyen kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikemukakan keluarganya pada 24 Februari, kata peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh.
Dengan itu, Anwar kini hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh, menurut laporan Bernama hari ini.
Minggu lepas, sumber memberitahu The Malaysian Insider, permohonan keluarga Anwar mendapatkan pengampunan diraja bagi ketua pembangkang yang sedang menjalani hukuman penjara itu dilupuskan.
Pada Jumaat, Amarjeet menyerahkan afidavit kepada mahkamah sementara peguam N Surendran dan Latheefa Koya mengatakan lembaga tersebut melupuskan petisyen itu.
Amarjeet, yang juga ketua bahagian sivil di Pejabat Peguam Negara, memberitahu pemberita ketika itu, memandangkan petisyen itu dilupuskan, kedudukan perlembagaan jelas mengenai perkara itu.
Beliau berkata, satu afidavit yang disahkan ketua pengarah bahagian undang-undang Jabatan Perdana Menteri, menyatakan hukuman penjara 5 tahun Anwar perlu dikekalkan, sudah dihantar kepada pemohon.
Amarjeet berkata, Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.
"Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), Kuala Lumpur.
Katanya, berikutan keputusan lembaga itu, mahkamah menolak permohonan Anwar mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri Amarjeet dan Latheefa yang mewakili Anwar.
Amarjeet Singh berkata, Hakim Asmabi menolak permohonan Anwar dengan kos RM3,000.
Petisyen pengampunan Anwar diserahkan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
sumber
No comments: