Tan Sri Muhammad Muhd Taib membayangkan kesan buruk sehingga negara berdepan situasi "bankrap" sekiranya Umno masih mengabaikan amaran yang dilontarkan Tun Dr Mahathir Mohamad membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas naib presiden Umno itu berkata, sekiranya ahli parti Melayu itu masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang sudah hilang upaya dan disifatkan tamak, tidak mustahil negara akan berdepan satu tahap sehingga bankrap.
"Kalau ahli Umno masih beri sokongan kepada pemimpin yang sudah hilang upaya dan bersikap tamak, tamak yang sangat luar biasa, kalau macam ini negara boleh ke satu tahap akan bankrap," kata bekas menteri besar Selangor itu dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider semalam.
Muhammad di antara bekas pemimpin Umno yang turut hadir dalam forum Bicara Negarawan bersama Dr Mahathir yang diadakan pada Sabtu lepas di Kelab K, Taman Melawati, Selangor.
Selain itu, turut kelihatan hadir ialah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim.
Kritikan Dr Mahathir terhadap Najib memperlihatkan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu bimbang dan kecewa melihatkan seorang pemimpin negara akan merosakkan negara sendiri, kata Muhammad.
"Kita tak tahu apa yang ada dalam pemikiran Dr Mahathir tapi beliau berasa amat kecewa apabila ada pemimpin yang dianggap boleh merosakkan negara.... apabila negara rosak, rakyat akan mendapat suatu kedudukan tak baik nanti," kata Muhammad apabila ditanya mengenai pendirian Dr Mahathir yang lantang mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak ketika ini.
Muhammad juga berkata kritikan berterusan, ditambah dengan jelajah yang bakal diadakan oleh Dr Mahathir bakal memberi tekanan lagi kepada pentadbiran Najib yang sehingga kini masih gagal menjawab persoalan yang ditimbulkan.
"Saya lihat Dr Mahathir sangat fokus dan beliau beri penjelasan lebih lanjut, dengan soal jawab berkaitan dengan apa yang sudah ditimbulkan sebelum ini, terutamanya 1MDB ini.
"Saya fikir sudah tentulah beri tekanan sebab setakat ini tidak ada penjelasan yang memuaskan, tidak ada penjelasan yang diberi walaupun bertalu-talu Dr Mahahir bertanya mengenai kehilangan wang yang begitu banyak, bukan sikit. Ini sangat besar yang boleh beri implikasi buruk kepada negara jadi sudah tentu rakyat, kita rasa nak tahu apa yang berlaku, apa sebenarnya, ke mana duit ini pergi," katanya.
Muhammad juga menggesa supaya satu forensik audit dijalankan sekiranya berhasrat mendapatkan kebenaran dan ketelusan dalam isu 1MDB.
"Saya fikir bukan hanya pengauditan, tapi pengauditan forensik dan perakaunan perlu dijalankan, ia bagi mengetahui daripada segi pembelian tersebut, dikatakan ada yang terlampau mahal, ada yang dikatakan terlampau murah, mengapa jadi begini, IPP (jana kuasa bebas) itu mahal-mahal belaka, kata Dr Mahathir.
"Ada juga beli tanah murah, beli tanah Sungai Besi dengan murah, bermakna rakyat rugi lah, pasal ini tanah rakyat," katanya.
Mengulas mengenai ramai pemimpin veteran Umno yang hadir semasa forum bersama Dr Mahathir baru-baru ini, Muhammad berkata kebanyakan yang hadir mahu mendengar sendiri penjelasan daripada mulut bekas presiden parti itu.
"Mereka nak dengar sendiri daripada Dr Mahathir, apa yang selama ini ditimbulkan oleh Dr Mahahir, tidak berhenti sudah berminggu dan berbulan. Mereka nak dengar sendiri daripada mulut Dr Mahathir, beliau sudah jelaskan," katanya.
Dr Mahathir pada forum Sabtu lepas berkata tidak akan memaafkan Najib kerana bertanggungjawab menghilangkan RM42 bilion wang melalui 1MDB.
Beliau juga mengulangi gesaan supaya Najib meletak jawatan dan memberi laluan kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut dibangkitkan beliau ialah beberapa urus niaga meragukan melibatkan 1MDB, terutamanya dalam pembelian jana kuasa bebas dan beberapa keping tanah milik kerajaan.
Turut menjadi serangan Dr Mahathir adalah gaya hidup mewah Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
No comments: