Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berbohong apabila mengatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar anggotanya ke Australia untuk mendapatkan maklumat daripada Koperal Sirul Azhar Omar berhubung kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, pihaknya menghubungi Sirul secara peribadi, dan bekas anggota pasukan keselamatan itu memaklumkan kepadanya kenyataan Khalid itu tidak benar.
"Sirul sangat kecewa dengan pembohongan ketua polis negara bila saya hubungi dia 2 hari lalu," kata Mahfuz.
The Malaysian Insider hari ini melaporkan peguam Sirul, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin turut mempertikaikan dakwaan polis apabila mengatakan satu pertemuan diadakan dengan bekas komando itu.
"Saya anggap ini kenyataan bohong ketua polis negara, sangat menyentuh kredibiliti negara, akibat peribadi beliau yang sangat buruk apabila buat kenyataan bohong, satu dunia tahu.
"Ini bermakna, ketua polis negara lakukan pembohongan terhadap negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.
"Kelayakan sebagai ketua polis negara hilang, kenyataan bohong ini menjejaskan imej Malaysia,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini mengkritik secara keras pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan mengatakan kebenaran perlu didedahkan berhubung isu pembunuhan Altantuya.
Menyangkal dakwaan kenyataan Dr Mahathir itu, berhubung tiada siasatan dijalankan ke atas dakwaan yang dibuat Sirul, Khalid berkata polis pada Jumaat ada bertemu dengan pelarian di Australia itu dan menyimpulkan tidak ada isu yang memerlukan siasatan lanjut.
"Saya melihat perbuatan Khalid ini sangat memalukan negara dan wajar beliau menghentikannya, kalau ini sebagai lawak jenaka," kata Mahfuz.
sumber
No comments: