Tindakan Putrajaya meminda Akta Hasutan 1948 dianggap seperti "membunuh" dengan wujudnya peruntukan menghapuskan kuasa ikat jamin bagi mana-mana individu yang dituduh, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Nur Jazlan berkata Putrajaya tidak seharusnya meminda akta berkenaan sehingga ke tahap sedemikian dengan beranggapan semua dituduh mempunyai potensi 'flight risk'.
"Apa anda fikir apabila jaminan dihapuskan, ia seperti kes bunuh, pesalah Akta Hasutan tidak boleh dianggap semuanya 'flight risk' jadi bila melaksanakan pindaan tersebut, ia serupa anda membunuh," katanya kepada The Malaysian Insider.
Putrajaya hari ini membentangkan pindaan Akta Hasutan 1948 dalam usaha mengukuhkan undang-undang berkenaan, iaitu meliputi peruntukan menyatakan ikat jamin tidak dibenarkan untuk mereka yang didakwa mengikut akta tersebut.
Cadangan pindaan akta berkenaan akan memasukkan dua seksyen baru - 5A dan 5B - yang mana Seksyen 5A menyatakan, mana-mana individu ditahan mengikut Subseksyen 4(1)(a) dan jika terdapat pengesahan bertulis, jika tidak melibatkan kepentingan awam untuk memberikan ikat jamin kepada tertuduh, ikat jamin tidak akan diberikan.
Seksyen lain pula menyatakan mahkamah berkuasa untuk menghalang mereka yang ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan dibebaskan dengan jaminan, daripada meninggalkan negara dengan mengarahkan mereka menyerahkan dokumen perjalanan untuk suatu tempoh masa.
Beliau berkata kerajaan meminda enakmen Akta Hasutan mungkin kerana beranggapan untuk mencegah daripada individu dituduh tidak lari di luar negara seperti yang terjadi, kepada blogger seks Alvin Tan lari ke Amerika Syarikat dan Ali Abd Jalil yang mendapat perlindungan suaka di Sweden.
"Kita tidak boleh samakan setiap kes seperti Alvin dan Ali, kita lihat bagaimana cara menangani dan menguruskan dengan tindakan berlebihan (meminda Akta Hasutan) bukan jawapan," katanya.
Jazlan berkata ia juga turut termasuk memperluaskan Akta Hasutan kepada pengguna laman sosial dengan mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa ingin menjustifikasi tuduhan tersebut.
"Apabila terlalu disekat kita bimbang hasilnya akan bertentangan iaitu ia tidak menimbulkan ketakutan, tetapi membangkitkan semangat lawan.
"Bila diperkuasa media sosial bagaimana pihak berkuasa ingin menghukum pengguna di luar negara atau mereka menggunakan akuan palsu," katanya.
sumber
No comments: