» » 'Dr Mahathir perlu sedar zamannya sudah berakhir'


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan supaya sedar zaman pemerintahannya sudah berakhir dan tidak perlu mengikut telunjuknya lagi, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebaliknya menurut ‎Menteri Wilayah Persekutuan itu, ini adalah era pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Dr Mahathir perlu menerimanya.

"Ini bukan zaman dia lagi. Ini zaman Najib.
"Pandangannya mengenai masa depan negara mungkin berbeza dengan apa yang kita mahu.

"Jadi dia perlu faham itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival 'My Second Chance' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu yang dipersoalkan Dr Mahathir, Tengku Adnan berkata perkara itu sudah selesai selepas Najib mengangkat sumpah laknat‎ di masjid.

"Najib dah pergi masjid angkat sumpah laknat yang dia tak pernah kenal Altantuya.

"(Datuk Seri) Anwar ‎(Ibrahim) liwat sehingga hari ini dia tak angkat sumpah.

"Ini semua kerja pembangkang untuk memutarbelitkan isu," katanya.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, segala persoalan termasuk mengenai syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dijawab Najib.

Sekali gus menepis gesaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu Najib menjawab persoalan yang dibangkitkan Dr Mahathir.

Ditanya sama ada mahu menjadi pendamai seperti yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, Setiausaha Agung Umno itu berkata tidak perlu.

"Saya rasa tidak ada masalah sebenarnya antara Najib dan Dr Mahathir, hanya ‎pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan mereka," katanya.

Beliau juga menolak ramalan Dr Mahathir mengenai masa depan Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang‎ kerana yakin majoriti rakyat akan menyokong ‎Barisan Nasional (BN).

"PRU12 kata akan kalah, (PRU) 13 pun kata akan kalah tetapi kita tak kalah pun kerana majoriti rakyat sokong," katanya.

"Ini minoriti... seperti kuman-kuman kecil sengaja nak masuk mata kerana mereka tahu kita sedang menuju jalan yang betul," katanya.

Katanya, akar Umno dan BNsetakat ini tidak ada masalah dengan Najib dan masih menyokong kepi‎mpinan yang ada.

Dr Mahathir pada Khamis menyenaraikan persoalan terhadap pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib selama ini, termasuk dakwaan bekas pengawal peribadi Najib yang didapati bersalah kerana membunuh Altantuya.

Katanya, dakwaan Sirul bahawa dirinya 'hanya menerima arahan' itu harus disiasat kerana Sirul pernah bekerja dengan Najib.

"Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh (dijatuhkan hukuman bunuh) kerana menjalankan arahan," tulisnya di blog chedet.cc.

Dr Mahathir juga membangkitkan masalah dihadapi 1MDB, dan mempersoalkan keperluan Putrajaya memberi kemudahan kredit hampir RM1 bilion kepada syarikat milik Kementerian Kewangan itu, di samping tindakan 1MDB membeli tanah kerajaan dan memeterai perjanjian diragui dengan PetroSaudi International.

Beliau turut mempersoalkan sumber kewangan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang membeli hartanah mewah di New York melalui ahli perniagaan Low Taek Jho.

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai jet peribadi yang dibeli untuk Najib, dan menyifatkannya pembaziran kerana kerajaan sudah mempunyai pesawat lain yang boleh digunakan.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini berkata, Najib tidak sepatutnya mengambil sikap buat tidak tahu persoalan Dr Mahathir itu.

"Buat tidak tahu bukan pilihan. Kita tidak boleh cuba buat tidak tahu. Kalau kita buat tidak tahu masalah ini akan menjadi lebih teruk lagi.

"Kita perlu selesaikan masalah itu. Apa yang Dr Mahathir bangkitkan kita perlu jawab walaupun kita rasa jawapan sudah diberikan, kena jawab lagi," .




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .