» » 'DIAM secara langsung memberi implikasi yang Najib Razak memang terlibat dalam skandal 1MDB'


Tindakan Datuk Seri Najib Razak terus mendiamkan diri tentang pendedahan terbaru berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara langsung memberi implikasi beliau terlibat dalam skandal tersebut, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menuduh perdana menteri sedang cuba membeli masa supaya dapat melindungi mereka yang dinamakan portal Sarawak Report dalam pendedahannya termasuklah ahli perniagaan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

“Kesenyapan Najib tentang isu ini bukan sahaja berterusan menghakis kecekapan beliau sebagai menteri kewangan dan perdana menteri, tetapi ia juga secara langsung memperlihatkan beliau terlibat dalam keseluruhan skandal mega itu,” kata Pua dalam satu kenyataan awal pagi ini.

“Apa yang dia sedang lakukan adalah membeli masa untuk melindungi Jho Low dan mereka yang terlibat dalam menggelapkan wang tersebut, seperti pengarah dan pengurusan tertinggi 1MDB.”

Pua berkata, Najib boleh mengesahkan atau menafikan serta-merta yang syarikat Low menggelapkan dana dari 1MDB, kerana sebagai menteri kewangan, beliau mempunyai akses kepada dokumen dikeluarkan Sarawak Report dalam pendedahan mereka.

Beliau berkata, sekiranya Sarawak Report menipu, Najib selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB sudah pasti berkeupayaan memberikan semua bukti berkaitan untuk memusnahkan kredibiliti portal berkenaan.

"Tidak perlu menunggu berbulan atau mungkin bertahun untuk menantikan Laporan Ketua Audit Negara lengkap.

"Sudah pasti langkah proaktif sedemikian akan meningkatkan tahap keyakinan pelabur dan menyingkirkan rasa ragu-ragu komuniti pelaburan terhadap 1MDB dan kebolehpercayaan kerajaan," katanya.

Pua berkata, tindakan Najib yang lebih gemar untuk tidak menjawab tuduhan Sarawak Report itu menyebabkan rakyat tiada pilihan, selain mempercayai pendedahan yang dibuat.

"Kesannya, bukan sahaja rakyat hilang kepercayaan kepada perdana menteri, tetapi kita juga hilang kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mereka tidak bertindak segera untuk menyiasat rompakan kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia ini," kata Pua.

Beliau berkata, dengan bukti menunjukkan Jho Low mempunyai kaitan dengan 1MDB, hutang bernilai RM42 bilion dan berbilion lagi yang hilang, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah pasti seharusnya menyiasat perkara itu.

"Kami menjangkakan Khalid akan memanggil Jho Low untuk bertemu polis, jika tidak keluarkan waran tangkap.

"Tapi sehingga hari ini, masih tiada lagi pihak berkuasa Malaysia yang ingin menyoal Jho Low," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .