» » Cadang usul undi tidak percaya pada Najib Razak ekoran skandal 1MDB


Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mencadangkan satu usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat penghujung Mei nanti bagi mempertikaikan cara beliau mengendalikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Langkah ini perlu kerana isu 1MDB bukan isu Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja, yang usianya mungkin sudah tidak lama berbaki, tetapi melibatkan semua rakyat Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"1MDB melibatkan kita semua dan anak cucu kita lebih daripada melibatkan Dr Mahathir," kata Husam, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Kelantan yang menegaskan 1MDB ialah isu terbesar negara waktu ini.

"Sekalipun Dr Mahathir acap kali menyebut jumlah hutang 1MDB adalah RM42 bilion, namun berdasarkan penyata kewangan 1MDB pada 2014, jumlah tanggungan 1MDB mencecah RM48.96 bilion termasuk hutang RM45.38 bilion dan cukai tertunggak RM2.3 bilion.

"Bermakna, hutang 1MDB berkembang lebih besar daripada apa yang disebut oleh Dr Mahathir sebenarnya," kata Husam, salah seorang ahli ekonomi daripada parti Islam itu.

Dalam usianya baru berumur empat tahun, kata Husam, 1MDB mencipta tanggungan negara yang begitu besar.

"Bagaimana jika Najib dibiarkan menguruskan negara untuk 4 tahun akan datang tanpa sebarang sekatan yang berkesan?" soal beliau.

Beliau menjangkakan, ketika itu, hutang 1MDB akan menjadi RM100 bilion dan separuh daripadanya akan lesap entah ke mana.

Bagi Husam, usia Dr Mahathir pada kebiasaan manusia biasa tidaklah terlalu lama berbaki.

Beliau tidak akan sempat menanggung malapetaka daripada hutang menggunung itu, katanya.

Generasi baharu Malaysia pula, katanya, sebenarnya yang perlu lebih peka dengan gaung hutang yang begitu besar terjadi dalam masa begitu singkat dengan lompang besar ke mana ia dihilangkan tidak terjawab.

"Kita juga harus bertanya sebagaimana pertanyaan Dr Mahathir. Ke mana lesapnya wang itu? Untuk negara? Untuk individu? Untuk dana politik?" soal beliau.

Husam memetik laporan terbaharu Sarawak Report yang belum dinafikan, yang antara lain mendakwa berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun berkaitan 1MDB di Bank BSI di Singapura antara 2011 - 2013.

"Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pada 2013. Adakah wang yang dipinjam 1MDB digunakan untuk dana PRU Barisan Nasional (BN)?" soalnya mempertikaikan penggunaan sebenar wang itu.

Bagi beliau, lebih banyak keraguan dan pertanyaan wujud bila tiada ketelusan dan jawab balas yang bertanggungjawab.

Atas dasar itulah, beliau mencadangkan ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantu dengan mengadakan usul tidak percaya pada Najib dalam sidang Parlimen bermula 18 Mei nanti.

Beliau berharap, ia akan mendapat kerjasama wakil rakyat Umno dan BN juga.

"Walaupun usaha Dr Mahathir menukar perdana menteri bertujuan memperkukuhkan Umno, tujuan kita pula ialah menyelamatkan negara daripada malapetaka ini, dengan menghilangkan punca malapetaka itu," katanya.

Tindakan Najib yang berdiam, katanya mungkin membawa maksud dakwaan dan fakta yang dibangkitkan adalah benar dan tidak boleh disanggah.

Husam seterusnya mempersoalkan, jika “bapa Umno” sepenting Dr Mahathir hampir setiap hari melontarkan pertanyaan yang disokong dengan fakta dan data tetapi tidak dilayan perdana menteri, apatah lagi pertanyaan atau kritikan orang biasa.

Ini menggambarkan sistem pengurusan negara ini, di mana jika tiada orang seperti Dr Mahathir, maka skandal sebesar 1MDB akan selamat disembunyikan, katanya.

"Hanya dengan cara berdiam diri atau menyiasat orang yang menyuarakan. Kedua-duanya sama buruk," tambah beliau lagi.

Husam juga bertanya, jika apa yang dibangkitkan para pengkritik tidak benar, apa salahnya perdana menteri bersikap telus berhubung kes 1MDB?

"Adakan hari terbuka untuk rekod-rekod 1MDB diperiksa oleh Dr Mahathir, wakil tiap-tiap parti politik, profesional dan rakyat dalam negara ini dan media. Segala keraguan boleh diperiksa.

"Ketelusan akan menjawab segala keraguan," Husam membuat cadangan dalam kenyataannya itu.

Beliau mendakwa, sikap berahsia dan kegagalan Najib bertindak balas secara profesional seakan membenarkan semua dakwaan.

"Jika dakwaan Dr Mahathir yang RM27 bilion lesap – bukan kerugian, dan pada perkiraan saya jumlahnya akan menjadi lebih besar jika akaun anak-anak syarikat atau bekas anak syarikat 1MDB diambil kira – dan negara kerugian RM25 bilion kerana harga hartanah yang dianugerahkan kepada 1MDB di bawah nilai sebenar pasaran adalah benar, satu malapetaka besar kini melanda negara kita dan Islam tidak mengizinkan ia didiamkan sahaja," katanya.

Pada waktu Najib sebagai pemimpin utama Umno dan kerajaan diserang bertubi-tubi, Husam juga berasa aneh kerana pemimpin lain dan anak buah Umno hanya bersuara sumbang sekali sekala sahaja dan kemudiannya membisu.

"Timbalan perdana menteri kelihatannya hanya menunggu Najib gugur. Pemuda Umno hanya pandai melambung badan Najib, kemudian diam. Naib-naib Presiden Umno tidak mengeluarkan pendirian yang bulat atau membantu membuat penjelasan," katanya.

Beliau seterusnya bertanya, sama ada Najib boleh “survive” dalam suasana begitu.

"Atau beliau membilang hari?" soalnya.

Baginya, jika Najib tidak lagi boleh diselamatkan, adalah lebih baik negara ini segera keluar daripada episod ketidaktentuan ini dengan membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .