Dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengatakan ia tidak akan menjawab atau mengulas sebarang "spekulasi dan khabar angin pasaran" berikutan beberapa siri pendedahan oleh laman web pemberi maklumat Sarawak Report.
Kenyataan itu dibuat selepas The Malaysian Insider cuba mendapatkan komen syarikat kontroversi itu berhubung dakwaan yang ia memberikan penyata bank palsu mengenai akaun anak syarikatnya kepada BSI Bank cawangan Singapura.
"Terima kasih atas kiriman e-mel anda. Walaupun kami mengalu-alukan pertanyaan media, 1MDB tidak mengulas spekulasi dan khabar angin pasaran," menurut jawapan daripada naib presiden komunikasi korporat 1MDB Grace Tan.
Semakan pada laman web 1MDB juga mempaparkan mesej yang sama kepada pertanyaan media, menunjukkan yang dana yang dibebani hutang itu tidak lagi akan menjawab sebarang dakwaan, seperti yang mereka lakukan sebelum ini.
Kenyataan terakhir dibuat presidennya Arul Kanda Kandasamy dalam menjawab dakwaan yang dilontarkan kepada syarikat itu, menurut laman web itu, ialah pada 12 Mac berhubung kredit tersedia RM950 juta yang diterimanya daripada Putrajaya.
1MDB dikritik teruk banyak pihak berhubung pengurusan kewangannya, hutangnya, pelaburan yang dipertikaikan serta pinjamannya.
Sejak ditubuhkan pada 2009, dana pembangunan strategik yang dimiliki Kementerian Kewangan itu mempunyai hutang terkumpul sebanyak RM42 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB turut merasa tempias kritikan pelbagai pihak susulan urus niaga meragukan serta kerugian besar yang dialami dana itu.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berulang lali menggesa Najib melepaskan jawatan perdana menteri.
Tegas Mahathir, wang yang tidak dapat dikesan dalam 1MDB kini lesap dan kegagalan Najib menjelaskan kedudukan wang itu menyebabkan beliau hilang kelayakan mentadbir negara.
Dr Mahathir turut memberi bayangan tentang kecurian dan rasuah membabitkan dana 1MDB apabila berkata wang yang lesap itu berbeza daripada wang rugi.
Dalam pendedahan pada Rabu lalu, Sarawak Report mendakwa ia menerima "bukti mengejutkan" yang menunjukkan BSI Bank enggan menerima dokumen dibekalkan 1MDB berkaitan akaun Brazen Sky Limited di Singapura.
BSI Bank Singapura adalah lokasi yang didakwa Putrajaya mengandungi sebahagian dana 1MDB yang dikeluarkan dari Kepulauan Cayman.
Namun, Sarawak Report mendakwa sumber berlainannya di Singapura memberitahu, "sebenarnya wang tunai yang berkenaan tiada dalam akaun 1MDB di BSI, yang dibuka di bawah nama anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited kerana ia 'atas kertas' dengan nilai yang tak dapat ditentukan".
Setakat 31 Januari, 2015 BSI Bank Singapura melaporkan terdapat 26 akaun aktif yang dimiliki Low - dengan nilai keseluruhan akaun sebanyak AS$17.5 juta saja, lapor Sarawak Report.
"Penemuan ini membangkitkan persoalan kritikal, sekurang-kurangnya ke atas jumlah AS$1.03 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dimiliki 1MDB dan Kementerian Kewangan dalam akaun berbeza di bank sama - dana yang sepatutnya diperoleh semula daripada urus niaga asal.
"Malah, jika benar begitu banyak wang mengalir keluar menerusi urus niaga Good Star Limited kepada Jho Low, bagaimanakah 1MDB berjaya mendapatkan semula dana itu berserta faedah?" lapor Sarawak Report.
Dalam satu lagi pendedahan semalam, Sarawak Report mendakwa, Good Star Limited, syarikat milik taikun Low Taek Jho, yang didakwa menggelapkan berjuta-juta ringgit daripada 1MDB, didapati memindahkan wang sebanyak AS$500 juta (RM1.8 bilion) kepada salah satu akaunnya di Singapura.
Memetik dokumen daripada pihak berkuasa Singapura, akaun itu didakwa di atas nama Abu Dhabi-Kuwait-Malaysia Investment Corporation (ADKMIC), yang mana Low merupakan salah seorang pemiliknya.
ADKMIC adalah nama syarikat yang diterajui Low pada Julai 2008, yang sebelum ini terlibat membeli 53% milikan saham dalam Utama Banking Group (UBG), sebuah syarikat dikawal keluarga Tun Abdul Taib Mahmud, dakwa laporan itu lagi.
Sarawak Report juga mendakwa Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bertemu Low di Istanbul dalam perjalanan ke Kazakhstan baru-baru ini.
sumber
No comments: