Pemimpin DAP Perak setuju memotong gaji mereka sebulan bulan ini tanda solidariti kepada 13 orang yang dijatuhkan hukuman penjara kerana menyertai perhimpunan membantah rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) pada 2009.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, 6 ahli Parlimen dan 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu sebulat suara memutuskan menyerahkan potongan gaji RM18,000 kepada keluarga mereka yang didapati bersalah itu.
"DAP Perak berasa hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 yang dijatuhkan kepada 13 individu ini terlalu berat, zalim, bersifat ketara 'double standard'," katanya.
"Atas prinsip keadilan, DAP akan terus menghulurkan bantuan termasuk khidmat guaman kepada keluarga mereka, khususnya yang mempunyai anak kurang upaya dan yang menghidap barah," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Nga berkata, akibat rampasan kuasa BN Perak pada 2009 itu, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang diberi mandat majoriti rakyat negeri itu digulingkan tanpa melalui usul undi tidak percaya yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
sumber
No comments: