Penjelasan Putrajaya mengenai penerbangan jet rasmi kerajaan 9M-NAA yang digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya pada Disember lalu amat mengecewakan, kata PKR.
Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata ini adalah kali pertama Putrajaya enggan berterus terang menjawab soalan tersebut, seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjawab sepanjang 22 Disember 2014 hingga 7 Januari 2015, jet 9M-NAA digunakan untuk tujuan urusan rasmi perdana menteri.
"Segala kos yang tertanggung adalah berdasarkan had kelayakan perdana menteri manakala para penumpang yang menaiki pesawat tersebut adalah mereka yang berkelayakan menaikinya seperti pasukan keselamatan yang ditugaskan melindungi perdana menteri," katanya memetik jawapan Parlimen.
Sim berkata pada sesi Parlimen lepas, soalan sedemikian dijawab dengan penuh apabila didedahkan perjalanan Datin Seri Rosmah Mansor ke Qatar menggunakan jet kerajaan pada 2014, menelan belanja lebih RM400,000.
Katanya, fakta yang dijawab Putrajaya mengenai perjalanan jet 9M-NAA pada Disember tahun lalu juga salah apabila media melaporkan Najib kembali ke Malaysia selepas bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii pada 27 Disember 2014.
"Maka, dari 27 Disember sehingga 7 Januari, Perdana Menteri tidak lagi menumpang jet kerajaan tersebut. Penumpang VVIP menjadi misteri. Adakah penumpang VVIP itu lebih layak daripada perdana menteri? Rakyat berhak tahu segala kebenaran.
"Sebagai ahli Parlimen, saya amat khuatir terhadap kebajikan penumpang VVIP ini. Adakah beliau sihat? Adakah beliau selamat sampai ke destinasi? Adakah beliau berjaya menjalankan tugas keselamatan negara? Adakah beliau puas membeli belah? VVIP berkenaan adalah tunjang negara. Jangan ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada beliau," katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, jawapan Jabatan Perdana Menteri itu harus dikecam kerana tidak berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen.
Katanya, kerajaan harus menjawab soalan ahli Parlimen dengan terus terang dan keengganan menjawab soalan menimbulkan pelbagai soalan dan spekulasi.
"Datuk Seri Shahidan Kassim harus tahu bahawa penggunaan jet melibatkan penggunaan duit rakyat dan rakyat berhak mengetahui bagaimana kerajaan menggunakan duit rakyat.
"PKR membuat anggaran perjalanan sepanjang 12 hari tersebut mnggunakan 243,145 liter petrol jet. Pada harga petrol RM2 satu liter, yang jauh lebih murah daripada petrol jet, kami menganggarkan secara konservatif perjalanan tersebut membelanjakan RM494,404.
"Kita harap kerajaan akan keluarkan fakta menjawab anggaran daripada PKR," kata Sim.
Jet rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran 9M-NAA menjadi tanda tanya selepas kedudukannya dijejak di beberapa negara ketika Najib berada di Malaysia, sebelum jet itu akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Subang pada malam 4 Januari.
Menurut laman sesawang Flight Radar 24, jet itu tiba pada 11.15 malam selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok pada jam 10.20 malam.
Jet 9M-NAA yang dikendalikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini pernah dijejak mendarat di Indianapolis, Los Angeles, New York, London, Dubai dan Bangkok, walaupun Najib sudah berada di Malaysia selepas memendekkan percutiannya.
Banjir buruk di pantai timur memaksa Najib bergegas pulang selepas gambarnya bermain golf bersama Obama di Hawaii disiarkan media, dan mendapat kecaman pengguna media sosial.
Najib pada petang 27 Disember tiba di Kota Baru melawat mangsa banjir selepas dijemput pesawat TUDM lain dari Hong Kong.
Pada 2 Januari, Bernama melaporkan Najib terbang ke Bangkok pada hari sama Flight Radar 24 menjejak 9M-NAA mendarat di ibu kota Thailand itu.
Menurut Bernama yang memetik laman Facebook Najib, pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha bagi mengucapkan terima kasih kerana bantuan negara tersebut apabila Malaysia di landa banjir.
Sebelum ini, selepas pulang ke Malaysia, Najib dilaporkan berkata keluarganya bersedih kerana cutinya terpaksa dipendekkan.
“Walaupun keluarga saya bersedih kerana terpaksa ditinggalkan, saya memberitahu apa yang mereka alami tidak boleh dibandingkan dengan perasaan mangsa banjir,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
PKR sebelum ini mempersoalkan siapa yang menggunakan pesawat rasmi kerajaan itu berada selepas kepulangan Najib dengan menggunakan pesawat TUDM.
Ketua Penerangan Pemuda PKR, Lee Chean Chung mempersoalkan mengapa pesawat 9M-NAA mendarat di Indianapolis dan siapa penumpang pesawat itu.
“Saya mahu tahu mengapa pesawat rasmi tidak membawa Najib pulang tetapi pesawat TUDM yang digunakan, hanya menambahkan kos?” soal Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu itu.
Pengguna media sosial juga bertanya ke mana perginya isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor di saat pantai timur dilanda banjir besar.
Najib dalam menjelaskan aktiviti bermain golf bersama Obama di Hawaii baru-baru ini menafikan beliau mengabaikan bencana banjir seperti dituduh sesetengah pihak.
Katanya, aktiviti itu dirancang lebih awal atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia.
Beliau berkata, jemputan itu disampaikan sewaktu Obama melawat Malaysia April lepas, dan amat sukar menolaknya kerana ia dirangka lebih awal berdasarkan jadual kedua-dua pemimpin.
"Main golf ini bukanlah satu perkara aneh atau luar biasa... sebab zaman Tun Abdul Razak (perdana menteri kedua Malaysia), Tun Dr Ismail Abdul Rahman (timbalan perdana menteri kedua) bermain golf dengan pemimpin dunia merupakan perkara yang boleh dikatakan sebagai 'golf diplomacy',” katanya.
sumber
No comments: