» » 'Rakyat Malaysia cemas kerana GST tak jelas'


Kekeliruan mengenai barangan mana yang akan dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai esok menyebabkan ramai yang mengambil jalan selamat dengan membeli barang keperluan lebih awal kerana menjangkakan harga barang akan naik.

Antara yang dijangka akan terbeban dengan cukai itu ialah ibu bapa dengan anak kecil, dan tinjauan mendapati mereka mula membeli barangan seperti lampin pakai buang, susu dan makanan bayi sebelum GST mula dikuatkuasakan.

The Malaysian Insider menemuramah beberapa keluarga di pasar raya sekitar lembah Klang menjelang pelaksanaan GST esok.

Azarina Mat Shaari, 37, yang mempunyai 2 anak kecil, memilih membuat persiapan awal bagi menghadapi GST dengan membeli keperluan harian anaknya untuk bekalan selama 3 bulan.

"Selalunya saya beli barang keperluan rumah dan anak-anak sebulan sekali. Tetapi memandangkan minggu depan GST, saya dan suami terpaksa beli untuk bekalan 3 bulan.

"Itu pun, boleh lebih hanya untuk barang anak macam susu, lampin pakai buang dan makanan. Tapi, lepas bekalan untuk 3 bulan itu habis, mahu tak mahu terpaksa jugalah hadapi GST," katanya yang biasanya menghabiskan kira-kira RM400 sebulan untuk keperluan rumah.

S Ragupathy, 40, seorang pemandu teksi mengatakan beliau hanya membeli lebih dari biasa bagi barang keperluan harian seperti makanan.

Manakala barang lain seperti bahan bukan makanan, beliau hanya membeli untuk bekalan sebulan sahaja.

"Tidak boleh buat apa-apa, kerana GST akan terjadi juga. Cuma hari ini saya beli barang makanan lebih sedikit daripada biasa," katanya yang mempunyai 2 orang anak yang masih bersekolah.

Namun, Huzalina Hussein, 39, yang mempunyai 3 anak kecil, hanya membuat persiapan GST untuk bekalan keperluan harian selama sebulan sahaja.

"Selalunya saya beli barang untuk 2 minggu sahaja. Tapi disebabkan GST, saya beli lebih, walaupun kemudian hari saya terpaksa tempuhinya juga," katanya.

Begitu juga Anusha Dewi, 22, seorang juruwang yang berkata beliau datang membeli-belah bersama keluarga untuk membeli barang keperluan rumah untuk bekalan selama sebulan.

"Di rumah kami ada 8 orang ahli keluarga yang semuanya sudah tidak bersekolah. Biasanya kami hanya membeli barang untuk bekalan selama 2 minggu. Tapi hari ini, disebabkan GST, kami membeli barang untuk sebulan.

"Barang yang kami beli kebanyakannya hanya barang makanan," katanya yang menyedari mereka tidak akan dapat lepas dari berdepan kesan GST juga selepas ini.

Bagi Mohd Faizi Dollah, 30, seorang juruteknik IT, beliau membuat perbelanjaan lebih awal sebelum pelaksanaan cukai tersebut dan tidak melepaskan tawaran di pasar raya.

"Saya ambil inisiatif belanja lebih sebelum 1 hari bulan. Lepas 1 hari bulan tak tahu, jadi datang sebelum itu.

"Banyak juga tawaran sekarang ini. Takut lepas 1 hari bulan harga lain, jadi awal-awal lagi belanja," katanya yang berbelanja untuk keluarganya sekitar RM400 sebulan.

Sementara itu, ada juga yang memilih tidak melakukan persediaan awal bagi menghadapi GST kerana berpendapat mereka tetap akan menghadapinya selepas bekalan habis.

Foong Hoong Khoon, 60, seorang pengurus kilang berkata beliau dan isterinya tidak membuat sebarang persiapan dengan membeli barang keperluan rumah awal-awal kerana baginya kebanyakan barang yang dibelinya hanya barang-barang makanan.

"Apa yang kami beli adalah barangan dapur. GST atau tanpa GST sama sahaja. Barang yang dibeli tidak banyak, kerana kami ada 3 orang anak dan hanya seorang yang sudah dewasa tinggal bersama kami.

"Walau apapun, kami masih keliru dengan pelaksanaan GST. Isteri saya terpaksa mencari apa yang dikecualikan (GST) dan apa yang tidak. Saya percaya orang lain juga masih tidak jelas (dengan pelaksanaan GST)."

Namun, beliau berkata, keluarga mereka akan kurang berbelanja untuk hiburan dan makan luar kerana ia akan dikenakan GST.

"Bagi saya kerajaan tidak sepatutnya memulakan GST dengan semua barang-barang tetapi mulakan dengan barang-barang mahal sahaja.

"Walaupun ia dilaksanakan di negara lain, tetapi ia membuatkan rakyat Malaysia panik (untuk berbelanja)," katanya yang berbelanja RM50 hingga RM200 seminggu untuk barang keperluan harian.

Alagan Perumal, 57, yang bekerja sendiri, juga keliru dengan cukai tersebut kerana baginya ada beberapa barang yang dikenakan GST tidak diletakkan label, membuatkan beliau tidak membuat perbelanjaan besar.

"Sekarang belum buat belanja besar lagi. Kita pun tak tahu yang mana kerajaan akan letak GST.

"Mereka cakap gula tak kena GST, tapi tak letak label. Kita pun tak tahu kena atau tidak GST.

"Kami beli biasa saja. Kalau beli lebih pun, berapa lama boleh pakai? Lagi satu bulan, mana boleh tahan. Nanti kena beli juga," katanya.

Seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Melissa berkata beliau hanya tinggal berdua bersama ibunya, jadi tidak membeli-belah dengan banyak untuk barang keperluan rumah sebelum GST.

"Kami tinggal berdua sahaja. Lagipun sesetengah barang tidak dikenakan GST, walaupun saya tidak begitu pasti barang apa barang itu," katanya.

Penjawat awam Abdul Razak Abu Bakar, 49, merasakan tidak perlu membuat perbelanjaan besar sebelum GST kerana merasakan harga barangan di pasar raya agak mahal.

"Seperti di pasar raya besar contohnya, masih boleh tahan harganya. Tak ada perbelanjaan besar sebelum GST, sebab akan datang sama juga.

"Kita tengok barang. Kalau produk mahal, kita cari yang murah.

"Lepas GST masih boleh lepas lagi. Tak ada belanja besar. Kita nak hidup banyak tahun lagi. Bukan dua tiga hari ini yang nak dikejarkan," katanya,

Putrajaya bakal melaksanakan GST pada 1 April ini bertujuan menambah hasil pendapatan kerajaan tetapi ia ditentang pembangkang kerana sistem cukai itu dilihat membebankan rakyat.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi gambaran sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) akan merosot sekiranya orang ramai dibebani dengan cukai yang terlalu banyak yang diperkenalkan.

Pengenalan GST dikatakan bakal meningkatkan kos rawatan perubatan dan kesihatan, malah bahan api RON97 juga bakal dikenakan cukai tersebut.

Perniagaan dalam talian juga dikenakan cukai tersebut di samping beberapa barang keperluan asas lain yang juga dikenakan cukai GST.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .