» » Peserta demonstrasi bantah GST rempuh bangunan kastam


Marah dengan tindakan Pejabat Kastam Kelana Jaya menutup kaunter awam mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kira-kira 100 peserta demonstrasi Gabungan Bantah GST hari ini bertindak merusuh kawasan tersebut.

Protes "duduk dan bantah" yang bermula sekitar jam 11 pagi bertujuan menuntut pihak kastam menjawab sebanyak 106 soalan mengenai GST, tetapi bertukar menjadi kecoh ekoran halangan pihak berkuasa.

Pertelingkahan antara peserta demonstrasi dan pihak berkuasa berlaku hampir lima minit sebelum keadaan ditenangkan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.

Arutchelvan berkata, peserta demonstrasi rasa "terganggu" apabila polis mula menghalang mereka mendapatkan penerangan daripada pegawai kastam di kaunter awam GST yang terletak di tingkat bawah pejabat itu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin yang turut menyertai demonstrasi, menjamin keadaan akan tenang sekiranya tidak ada kekerasan polis dan pegawai kastam datang memberi penerangan kepada mereka.

Protes itu pada asalnya dijadualkan bermula jam 2 petang tetapi diawalkan ke pukul 11 pagi.

Selain PSM yang merupakan penggerak utamanya, protes turut dijangka disertai Pemuda PAS dan pertubuhan bukan kerajaan belia seperti SAMM, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) dan Angkatan Pemuda Bangsa Malaysia.

Peserta demonstrasi juga bertindak melaungkan "polis jangan kacau" ketika rundingan sedang berlangsung antara Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan Dr Dzulkefly Ahmad bersama pihak kastam supaya sesi penerangan diadakan.

"Apa kesalahan kita? Kita datang ke tempat awam, di kaunter penerangan GST, kenapa polis hendak mencampuri dan menutup kaunter ini?" kata pengerusi SAMM yang lebih dikenali sebagai Chegubard itu.

Sementara itu, Arutchelvan berkali-kali meminta peserta demostrasi bertenang, tidak kecoh dan meminta polis tidak melakukan kekasaran.

"Kita mahu perhimpunan yang aman, kita datang bukan untuk buat kekecohan, kita mahu semua keadaan tenang," katanya.

Bagaimanapun, lebih 5 minit rundingan dilakukan, ia seolah-olah tidak berhasil, apabila lebih ramai polis datang mengepung peserta demonstrasi.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .