» » Pemandu teksi berkeras mahu kekalkan tambang baru


Kumpulan pemandu teksi hari ini mengatakan mereka tidak akan mempedulikan arahan kabinet supaya menangguhkan pelaksanaan tambang baru sehingga mereka menerima notis rasmi daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) Amran Jan berkata, kira-kira 40% hingga 50% dari 6,000 ahlinya sudah mengubah suai meter mereka kepada tambang baru susulan pengumuman SPAD yang kadar tambang teksi bajet di Lembah Klang akan naik ke 25 sen setiap 200 meter.

"Kami minta semua pemandu teksi yang sudah mengubah meter mereka meneruskan operasi mengikut kadar baru, selagi mana SPAD tidak mengeluarkan arahan membatalkan tambang baru itu.

"Setakat ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta SPAD menangguhkan pelaksanaan kadar tambang itu, bermaksud keputusan terletak pada SPAD.

"Selagi tiada pekeliling daripada SPAD, atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyokong kenaikan kadar itu, kami tidak akan mematuhi mana-mana bantahan," kata Amran pada satu sidang media dihadiri lebih 80 pemandu teksi hari ini.

Pada Khamis, SPAD mengumumkan tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20% hingga 67% berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei, tambang bas ekspres akan naik 22.6%.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Bagaimanapun, semalam Muhyiddin berkata kabinet meminta SPAD menangguhkan dahulu kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti yang diumumkan itu.

Katanya, mesyuarat kabinet pada Jumaat membincangkan perkara itu dan berpendapat kenaikan itu tidak sesuai diumumkan dalam keadaan sekarang.

Amran berkata BBPTB menyokong keputusan SPAD menaikkan kadar tambang kerana mereka terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang meningkat naik selama 6 tahun lepas.

"Semua pemandu teksi bermeter menyokong kadar baru itu kerana ia menangani isu kos dan membantu kami menghadapi kenaikan kos sara hidup," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim) Kamaruddin Mohd Hussain berkata, mereka yang membantah kenaikan tambang itu seolah-olah menyatakan perdana menteri bertindak salah membenarkan keputusan tersebut.

"Adakah mereka menyatakan perdana menteri tidak arif?" soalnya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .