Usul Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilakukan bagi menyiasat syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan daripada hutang firma itu melebihi RM42 bilion ditolak Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan, Putrajaya kini berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi firma pelaburan tersebut dan RCI tidak diperlukan.
"Ini termasuk kajian daripada Jabatan Audit Negara, dan laporan itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC).
"Ada juga soalan lisan 1MDB yang akan dijawab oleh kerajaan dalam sidang ini, " kata Pandikar melalui surat kepada Mahfuz, hari ini.
Mahfuz yang kesal dengan penolakan usul tersebut turut mempersoalkan kredibiliti Jabatan Audit Negara dengan mengambil contoh laporan pengurusan audit 2011-2013 berkenaan Sambutan Hari Belia.
Beliau mendakwa sehingga kini, laporan itu masih belum dibentangkan di Parlimen.
Ketua penerangan PAS itu juga menyatakan kebimbangan siasatan audit tidak akan menyeluruh dan akhirnya, tuduhan skandal 1MDB akan hilang begitu saja.
"Saya bimbang audit hanya dibuat bagi menghalalkan tindakan 1MDB dan akhirnya segala tuduhan penyelewengan, salah pengurusan kewangan, pecah amanah akan hilang," katanya.
Susulan pendedahan hebat mengenai skandal 1MDB, Najib mengarahkan Jabatan Audit Negara memulakan proses audit.
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang memberitahu satu sidang media jabatannya akan memberi keutamaan dalam melakukan audit syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu, secara bebas dan profesional.
No comments: