» » Najib Razak sekali lagi digesa untuk lepaskan jawatan


Pemimpin Umno peringat cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail hari ini sekali lagi menggesa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, kali ini sebagai menteri kewangan, susulan siasatan yang akan dibuat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua penerangan Umno Pusat Bandar Taman Cempaka itu berkata, ia bagi memastikan siasatan lebih telus dan tiada gangguan terhadap semakan akaun secara bebas yang akan dijalankan ketua audit negara.

Beliau juga mahu 160 ketua bahagian yang menyokong Najib, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dalam satu mesyuarat semalam, meletak jawatan kerana menyokong membuta tuli tanpa menunggu laporan daripada ketua audit negara.

“Sebenarnya perdana menteri perlu meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan bagi memudahkan siasatan lebih telus dan tanpa sebarang gangguan ketua audit negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Selagi Umno mempunyai 160 ketua bahagian ini, Umno akan bermasalah besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti,” katanya sambil membangkitkan walaupun 160 ketua bahagian Umno menyatakan sokongan kepada Najib sebagai presiden dan perdana menteri, namun 31 ketua bahagian lagi tidak hadir.

Katanya, senario itu memberi tamparan hebat kepada Najib yang membuktikan bukan semua ketua bahagian dan pemimpin Umno menyokong 1MDB, dana pelaburan strategik negara yang diilhamkan Najib dan kini sarat dibebani hutang.

“Ini juga tidak sama sekali melambangkan 3.5 juta ahli Umno menyokong apa yang dilakukan presiden Umno selaku perdana menteri dalam isu 1MDB.

“Diberitakan, ia hanya perjumpaan memberi penjelasan dan tiada soal jawab pun. Ini berkemungkinan mereka 160 ketua bahagian Umno itu faham atau hanya menyokong membuta tuli,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Johari Abdul Ghani semalam berkata, semua 160 ketua bahagian yang menghadiri perjumpaan bersama Najib berpuas hati dengan penjelasan pemimpin tertinggi parti itu berhubung isu 1MDB.

Katanya, perjumpaan yang berlangsung selama lebih satu setengah jam itu bersetuju masa perlu diberikan agar siasatan lanjut dijalankan kepada 1MDB.

Disember tahun lepas, Syed Rosli menulis surat terbuka menuntut Najib berundur sebagai presiden Umno kerana katanya perkhidmatan beliau tidak lagi diperlukan.

"Sesungguhnya kami ahli Umno merasakan perkhidmatan Datuk Seri tidak lagi diperlukan," katanya dalam surat itu.

"Bukan kami hendak menghina Datuk Seri tetapi kami rasakan lebih baik Datuk Seri berundur secara hormat sebelum PRU14 nanti demi memberi nafas baru kepada Umno.

"Jikalau Datuk Seri betul-betul sayangkan Umno dan BN maka jalan yang terbaik Datuk Seri berundurlah," katanya yang juga penolong setiausaha Pemuda cawangan itu dalam surat berkenaan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .