Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri berkata adalah mustahil hudud dilaksanakan di Malaysia kerana undang-undang Islam yang cuba dibawa PAS Kelantan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu yang memegang portfolio undang-undang berkata, beliau merasakan ahli Parlimen Sarawak tidak akan mengundi membenarkan hudud dilaksanakan.
“Ia tidak mungkin dilaksanakan. Saya tak pasti tentang Umno tapi di Sarawak, saya tidak fikir mereka (PAS) akan dapat undi daripada kami (ahli Parlimen Sarawak),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Jumlah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sarawak adalah seramai 23 orang iaitu 14 wakil dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), seorang mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta masing-masing empat wakil dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Nancy berkata kajian mendalam perlu dilakukan terhadap kandungan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
“Kita sudah mempunyai Perlembagaan Persekutuan jadi kita perlu melihat kesalahan di bawah hudud.
"Banyak peruntukan (hudud) sudah berada di bawah Perlembagaan Persekutuan, jadi perlu ada kajian semula jika nak membenarkan hudud diluluskan,” katanya.
sumber
No comments: