» » 'Harga minyak turun tapi tambang pengangkutan awam naik'


Bila harga minyak naik, harga barang dan kos pengangkutan naik. Bila harga minyak turun, harga barang dan tambang bertambah naik. Apa logik dan rasionalnya?

Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) amat terkilan dengan tindakan kerajaan menaikkan tambang teksi, bas dan KTMB daripaada 20% hingga 67%. Hanya kerajaan yang sudah tidak waras akan melakukan perkara seumpama ini. Kerajaan Barisan Nasional (BN) jelas sudah hilang pertimbangannya dan terus menggasak rakyat marhaen.

Jerit membantah sekeras-sekerasnya kenaikan tambang pengangkutan awam kerana sebab berikut:

1. Mulai 1 April 2015, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan. Menurut pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia, harga barang akan naik setelah perlaksanaan GST sebanyak 6%. Kita juga tahu barang yang dikecualikan GST masih tetap akan naik harganya sebab kesan rantaian. Dengan kenaikan tambang pengangkutan awam dan adanya GST, kos akan meningkat berlipat kali ganda.

2. Gaji minima masih belum dinaikkan. Pada tahun ini, gaji minima harus dinaikkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara. Malangnya disebabkan tentangan hebat majikan, kerajaan tidak berani untuk menaikkan gaji minima ini.

3. Kadar gaji secara umumnya juga tidak meningkat. Kadar gaji yang dibayar di Malaysia hanyalah 30% daripada GDP negara. Angka ini tidak banyak naik sejak 1970-an lagi. Ini bertentangan sama sekali jika dibandingkan dengan kadar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

4. Lebih ramai orang akan menggunakan kenderaan sendiri apabila tambang pengangkutan awam naik. Lebih-lebih lagi apabila harga minyak secara relatifnya lebih rendah sekarang. Ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

5. Penggunaan kenderaan sendiri juga akan menambahkan pencemaran alam. Malaysia adalah antara negara tertinggi dalam perlepasan karbon dioksida (CO2) apabila dinilai secara per kapita. Perlepasan per kapita kita adalah 7 metrik per tan pada 2010 menurut Bank Dunia berbanding 1.7 metrik per tan untuk India dan 6.2 untuk China dan 1.2 untuk Indonesia serta 0.9 tan per kapita di Filipina. Sudahlah keadaan cuaca sekarang tidak menentu kerana perubahan iklim sedunia.


Jerit juga terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mengumumkan kenaikan tambang ini. SPAD yang seharusnya bertanggungjawab untuk perkhidmatan pengangkutan awam yang murah dan efisien berpaling tadah dan bersekongkol dengan pihak kerajaan untuk menggasak rakyat.

Ada juga pihak termasuk pemimpin Umno yang mengatakan kenaikan tambang ini satu percaturan politik untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah hilang kawalan dalam pentadbiran negara. Apa jua percaturan politik ini, yang menjadi mangsa rakyat marhaen.

Hentikan kekejaman terhadap rakyat. Batalkan kenaikan tambang dan GST.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .