» » Dakwa k'jaan sembunyikan penglibatan Ananda Krishnan biaya hutang 1MDB


PKR hari ini mendakwa Putrajaya cuba menyembunyikan penglibatan jutawan Tan Sri T. Ananda Krishnan dalam pembiayaan hutang ditanggung 1MDB berjumlah RM2 bilion.

Dua ahli Parlimen PKR, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Chua Tian Chang (Batu) berkata, walaupun Putrajaya menafikan penglibatan Ananda, syarikat konglomerat Tanjong PLC yang dikatakan membawa pelabur luar membantu menyelesaikan hutang 1MDB diketahui mempunyai kaitan dengan beliau.

"Menteri kata Ananda tidak terlibat, tapi syarikatnya mengatur pelabur swasta datang dan menanggung pinjaman 1MDB. Ini bermakna, Ananda terlibat, kerana Tanjong adalah miliknya.

"Jawapannya menimbulkan lebih banyak persoalan," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Dewan Rakyat, Tanjong bertanggungjawab mengatur pembiayaan pelabur swasta ke atas 1MDB.

Kenyataan tersebut berbeza dengan kenyataan Putrajaya yang menafikan penglibatan Ananda sebelum ini dalam pembiayaan hutang 1MDB.

Putrajaya sebelum ini mengesahkan pembiayaan hutang 1MDB diatur oleh Tanjong dengan bayaran pokok untuk tempoh 15 bulan dan kadar faedah dibayar selama 6 bulan.

Sim hari ini mendesak supaya terma dan syarat pinjaman kepada 1MDB didedahkan dan mempersoalkan sama ada wang pembayar cukai digunakan sekiranya syarikat itu gagal melunaskan hutang.

Beliau juga mahu identiti pelabur swasta didedahkan dan mempertikaikan mengapa Tanjong mengenakan kadar faedah ke atas pinjaman tersebut walaupun sepatutnya hanya institusi kewangan dibenarkan mengenakan faedah.

Sementara itu, Tian Chua mahu Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) memanggil jutawan tersebut bagi menjelaskan peranannnya dalam pemberian pinjaman tersebut.

Beliau mahu Putrajaya menjelaskan apa yang berlaku terhadap dana yang dibawa pulang dari Pulau Cayman, dan mendesak presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy menjelaskan perkara tersebut.

"Jika diperlukan Arul perlu dipanggil untuk jelaskan perkara ini," kata Tian.

Arul sebelum ini menafikan Ananda membantu menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB sebanyak RM2 bilion.

Pembayaran tersebut dibuat 6 hari sebelum bank menggerakkan peningkatan risiko kegagalan atau “event of default” (EOD).

1MDB di mana lembaga penasihatnya dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai jumlah hutang RM42 bilion, dan dikritik hebat kerana mengambil pinjaman besar dan sukar membayarnya.

Di antara pengkritiknya termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, selain ahli Parlimen pembangkang yang mengatakan hutangnya boleh menjejaskan sistem kewangan negara.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .