Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, tindakan itu perlu kerana kakitangan sektor awam semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan mereka sudah membuat tuntutan berkenaan sejak sekian lama.
Beliau berkata, kenaikan gaji kakitangan awam yang tertangguh lebih satu dekad mendorong kesatuan tersebut mendesak agar dinaikkan sehingga 35 peratus!
“Berdasarkan perbincangan awal, kerajaan bersetuju mengkaji skim gaji penjawat awam dalam tempoh lima tahun sekali bagi mengelakkan kakitangan berpendapatan rendah diletakkan di bawah paras kemiskinan.," katanya disini hari ini.
Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah.
Azih berkata bebanan kerja ditanggung kakitangan awam juga semakin meningkat setiap hari dan penangguhan kajian skim gaji akan mendatangkan kesan negatif terhadap kualiti dan produktiviti kerja mereka.
Katanya, antara elaun yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberikan serendah RM180 kerana kadar itu tidak munasabah bagi mereka yang bekerja di bandar.
Beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu itu dengan kadar segera bagi membantu meningkatkan taraf hidup kakitangan sektor awam terutama yang berpendapatan rendah.
Sementara itu, Abdul Fatah berkata bagi membantu kakitangan awam memiliki rumah di kawasan bandar, Angkasa dan Cuepacs akan bekerjasama membina 600 unit rumah pelbagai jenis dilengkapi perabot dan kemudahan insurans di Putrajaya.
Beliau berkata, satu mesyuarat khas dengan pemaju akan diadakan April ini bagi membincangkan pelaksanaan projek yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan penjawat awam.
"Rumah yang akan dibina itu akan dijual kepada penjawat awam dengan harga yang berpatutan bagi membolehkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri," katanya.
No comments: