» » PAC mahu Jabatan Audit Negara segera audit 1MDB


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Jabatan Audit Negara menjalankan audit segera terhadap syarikat pelaburan milik penuh kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum jawatankuasa Parlimen itu memanggil syarikat berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya mengenal pasti isu utama yg memerlukan audit segera daripada Jabatan Audit Negara iaitu sumber dana berjumlah RM2 bilion bagi menjelaskan pinjaman daripada bank tempatan, suntikan dana baru daripada kerajaan berjumlah RM3 bilion, perjanjian pelaburan dalam syarikat Petrosaudi selain percanggahan kenyataan mengenai wang hasil pelaburan di Pulau Cayman sama ada sudah dibawa balik ke Malaysia atau tidak.

Jazlan berkata, ia juga termasuk perubahan firma audit antarabangsa untuk meluluskan akaun 1MDB.

"PAC mahu Audit Negara menjalankan audit terlebih dahulu ke atas 1MDB sebelum kita memanggil mereka di hadapan jawatankuasa ini tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

Nur Jazlan berkata, PAC berpendapat sudah sampai masanya Jabatan Audit Negara menjalankan audit terhadap isu berkenaan memandangkan terdapat pelbagai khabar angin dan persepsi negatif timbul hingga membabitkan imej kerajaan.

Katanya, perlu diingatkan 1MDB merupakan syarikat milik penuh kerajaan dan segala wang yang digunakan bagi tujuan operasi dan pelaburan syarikat itu adalah milik rakyat.

"Rakyat perlu tahu perkara sebenar dan kerajaan perlu telus dalam hal 1MDB, jika benar segala pelaburan dan operasi syarikat ini sah, biarlah ia disahkan sendiri jabatan kerajaan iaitu Jabatan Audit Negara," katanya.

Hari ini, DAP mempersoalkan Juruaudit KPMG yang didakwa gagal melindungi kepentingan Putrajaya dan rakyat Malaysia kerana cuai menjalankan tugasnya memberi amaran berhubung usaha sama yang diragui antara 1MDB dan PetroSaudi International (PSI).

Tony Pua, pengkritik hebat 1MDB berkata hari ini, KPMG sepatutnya mempunyai akses penuh kepada perjanjian itu dan menyemak urus niaga yang berkaitan, termasuk wang AS$700 juta (RM2.5 bilion) yang dipindahkan dari 1MDB ke PetroSaudi.

"Soalan yang sepatutnya ditanya ialah sekiranya juruaudit untuk 1MDB, Juruaudit Bertauliah KPMG, yang mengesahkan akaun pada 4 Oktober 2010, bersubahat dengan 1MDB dalam menutup kes penipuan PetroSaudi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kegagalan KPMG memberi amaran tentang urus niaga di atas bermakna juruaudit 1MDB itu gagal dalam tugas mereka melindungi kepentingan kerajaan dan rakyat Malaysia amnya," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

PSI menubuhkan 1MDB PetroSaudi, bermula dari kosong, pada 18 September 2009, hanya 10 hari sebelum anak syarikatnya menerima AS$1 bilion daripada 1MDB.

Laman web yang sering membuat pendedahan, Sarawak Report, mengemukakan dokumen menunjukkan 4 hari selepas 1MDB PetroSaudi wujud, PSI menandatangani perjanjian mengatakan anak syarikat itu berhutang AS$700 juta dengannya.

Kemudiannya pada 29 September, 1MDB membeli 40% saham baru dalam 1MDB PetroSaudi dan menyuntik RM1 bilion dalam bentuk wang tunai. Keesokan harinya, AS$700 juta dibawa keluar daripada 1MDB PetroSaudi dan diberikan kepada PSI.

Pua menegaskan, butir-butir perjanjian itu tidak dilaporkan dalam laporan kewangan pertama 1MDB pada Mac 2010 kerana perjanjian itu ditamatkan 6 bulan kemudian pada 31 Mac 2010 – yang kebetulan hari terakhir laporan kewangan itu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .