» » Kehidupan mangsa Banjir 2014 terumbang ambing


Samsul Ariff Ismail, 44, menghirup Nescafe Ais dengan perlahan sebelum merenung jauh cawannya dengan pandangan kosong, seolah-olah dirinya tiada di situ.

Hanya gerai makanan di tebing Sungai Galas, Gua Musang itu tempat dia melupakan seketika beban dan dugaan yang dihadapi diri dan keluarganya sejak sebulan lalu, apabila rumah mereka musnah dihanyutkan banjir besar yang bukan sahaja melanda Kelantan, malah beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Bersama tujuh lagi anggota keluarga, termasuk isterinya yang akan melahirkan anak keenam mereka Februari ini, beliau kini berteduh di khemah mangsa banjir yang disediakan di bandar itu.

Terpaksa bersesak dengan lebih 200 keluarga di penempatan sementara itu, setiap hari dia singgah di gerai makan tempat mereka yang senasib dengannya bagi berkongsi cerita dan melupakan kedukaan yang melanda.

"Rumah saya tinggal tangga sahaja, yang lain semua hanyut," katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Ju, yang menetap di Kampung Kundur, Gua Musang ketika ditemui The Malaysian Insider baru-baru ini.

Kelihatan beberapa lelaki dan anak muda duduk bercerita dan bergelak ketawa sambil menikmati minuman mereka dan bermain "dam tutup botol minuman" serta kad daun terup, sebelum ada yang kembali menguruskan hal masing-masing.

Sejak lebih sebulan menjadi mangsa banjir, Pak Ju pasrah dengan nasib keluarganya, namun bimbang langkah yang diatur untuk masa depannya, kerana dia kini tidak mempunyai pendapatan.

Bekerja mengambil upah menoreh getah milik orang lain, sumber pendapatannya kini terjejas apabila ladang getah terjejas teruk kerana banjir, di samping pemilik ladang yang tidak lagi menggajinya kerana turut ketiadaan wang untuk mengupah.

"Orang nak bagi kerja pun tidak boleh, mereka pun tiada duit, kebun habis rosak, sudah sebulan lebih saya tidak bekerja, saya tidak tahu macam mana lagi," katanya.

Sebelum dilanda banjir, Pak Ju mampu menjana pendapatan sehingga RM1,500 sebulan hasil mengambil ubah menebas dan membersihkan kebun dan menoreh kebun getah.

"Sekarang ini kosong, langsung tiada pendapatan, nak kerja pun tiada kerja," katanya sambil cuba ketawa, menyembunyikan kesedihan dalam dirinya.

Tinjauan The Malaysian Insider di kawasan perkampungan di sepanjang tebing Sungai Galas mendapati ia ibarat padang jarak padang tekukur selepas dilanda banjir.

Kelihatan beberapa khemah kanvas didirikan pemilik kediaman yang musnah di antara celah-celah runtuhan bangunan, di samping kenderaan yang terbalik dan perkakas rumah yang rosak teruk.

Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang dilihat cuba membaiki sendiri peralatan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh.

"Sekarang saya ibarat pelarian, rumah tiada, pendapatan pun tiada, hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai yang melawat," katanya yang menetap di kampung berkenaan sejak 20 tahun lalu.

"Terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan pakaian dan makanan. Sumbangan berkenaan amat mencukupi, tetapi itu untuk jangka masa sementara, tanpa pendapatan, saya tidak akan mampu membina kehidupan seperti sediakala," katanya.

Kata Pak Ju, simpanannya selama ini juga habis digunakan selepas dua minggu banjir melanda.

"Kalau kita nak buat rumah kecil sekali pun, paling kurang perlukan RM10,000... tapi sekarang dalam akaun bank tiada apa yang tinggal," katanya, sambil menghirup saki baki minumannya.

"Dari segi makanan banyak, NGO datang beri makanan. Dari segi ekonomi, sekarang, duit sahaja yang kita tiada."

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .