» » '1MDB boleh sebabkan ketidakstabilan ekonomi Malaysia'


Syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh menjadi punca kepada ancaman sistemik (systemic risk) jika gagal membayar hutang RM5.5 bilion mereka menjelang Jun ini yang boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi, kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Memetik sumber tidak dinyatakan identitinya, bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata hutang tertunggak 1MDB kini bersamaan dengan 4% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan syarikat itu sudah dua kali menangguhkan pembayarannya.

“Sistem kewangan dan perbankan negara terdedah kepada ancaman sistemik (systemic risk) kalau 1MDB gagal membayar balik hutangnya yang begitu besar,” tulis Kadir dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin malam tadi.

“Ada sumber mengatakan keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB kini bersamaan 4% keluaran dalam negara kasar (GDP) – hampir serupa dengan konglomerat Renong-UEM ketika krisis kewangan Asia 1997/98 yang memaksa kerajaan melakukan operasi penyelamatan dengan mengambilnya balik daripada (Tan Sri) Abdul Halim Saad.”

Menurut laman sesawang kewangan Investopedia, ancaman sistemik adalah kemungkinan sesuatu yang berlaku di peringkat syarikat boleh menyebabkan ketidakstbilan atau meruntuhkan keseluruhan industri atau ekonomi.

Ia berkata syarikat yang mempunyai kaitan kuat dengan yang lain boleh menjadi punca ancaman sistemik ini.

"Mana-mana orang yang faham ekonomi akan gementar apabila disebut 'systemic failure'. Itulah yang hampir-hampir melanda kita ketika krisis 1997/98 tetapi, Alhamdulillah, berjaya disekat oleh perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Kadir yang juga adjung profesor Othman Yeop Abdullah (OYA) Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia berkata kemampuan 1MDB membayar faedah dan seterusnya melunaskan hutangnya bergantung kepada kejayaan menyenaraikan aset jana kuasa yang sudah beberapa kali ditangguhkan.

Katanya bank yang paling teruk menghadapi risiko adalah Maybank milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan RHB milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF).

“Inilah yang saya ulangi berkali-kali. Kita tidak boleh membenarkan syarikat bersangkutan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan bersangkutan kerajaan (GLIC) dijadikan lubuk duit bagi membiayai 1MDB,” katanya.

“Kalau 1MBD gagal membayar balik hutang itu, bebannya akan ditanggung oleh kerajaan kerana ia memberi jaminan berjumlah RM5 bilion. Kesimpulannya rakyat jelata dan pembayar cukailah yang akan tanggung bebannya.”

Menurut Kadir, tanpa kegagalan sistemik pun, masalah hutang dan modus operandi perniagaan 1MDB berkemungkinan memberi ancaman terhadap penarafan negara (sovereign rating) Malaysia.

Beliau memetik laporan The Star pada 13 Januari lalu tentang agensi penarafan antarabangsa Fitch mengekalkan penarafan Malaysia sebagai “negatif”, iaitu setaraf dengan Mongolia.

Beliau berkata, isu 1MDB kini melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia sama ada suka atau tidak dan jika tidak ditangani dengan baik akan memberi kesan jangka masa panjang kepada negara.

"Kesimpulannya, sama ada kita suka atau tidak, isu 1MDB ini sudah menjadi isu yang melibatkan kita semua dan sekiranya gagal ditangani akan membebankan kita dan anak cucu kita untuk jangka masa yang lama.

"Jadi kita wajib faham dan mendesak agar tindakan terbaik diambil bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. Inilah antara beban besar yang menguji kewibawaan Mohd Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan," katanya merujuk Datuk Seri Najib Razak.

Jutawan korporat, T. Ananda Krishnan dikatakan bersetuju meminjamkan sehingga RM2 bilion kepada 1MDB sebagai bantuan menyelesaikan hutang syarikat kontroversi itu kepada Maybank dan RHB Bank yang perlu dijelaskan akhir bulan ini, lapor akhbar perniagaan The Edge.

Kadir berkata, langkah itu menimbulkan persoalan sama ada sebagai syarikat dana negara, pinjaman yang diberikan Ananda Krishnan, atau lebih dikenali sebagai AK itu akan menjadikan 1MDB menjadi milik jutawan berkenaan.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .