» » Bidas firma audit gagal beri amaran urus niaga meragukan 1MDB


Juruaudit KPMG didakwa gagal melindungi kepentingan Putrajaya dan rakyat Malaysia kerana cuai dalam menjalankan tugasnya memberi amaran berhubung satu usaha sama yang diragui antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International (PSI), kata DAP.

Tony Pua, pengkritik hebat 1MDB berkata hari ini, KPMG sepatutnya mempunyai akses penuh kepada perjanjian itu dan menyemak urus niaga yang berkaitan termasuk wang AS$700 juta (RM2.5 bilion) yang dipindahkan dari 1MDB ke PetroSaudi.

"Soalan yang sepatutnya ditanya ialah sekiranya juruaudit untuk 1MDB, Juruaudit Bertauliah KPMG, yang mengesahkan akaun pada 4 Oktober 2010, bersubahat dengan 1MDB dalam menutup kes penipuan PetroSaudi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kegagalan KPMG memberi amaran tentang urus niaga di atas bermakna juruaudit 1MDB itu gagal dalam tugas mereka melindungi kepentingan kerajaan dan rakyat Malaysia amnya," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Pua mengulas perjanjian usaha sama antara 1MDB yang dibebani hutang dan PSI, di mana syarikat pelaburan negara itu membayar AS$1 bilion kepada anak syarikat PSI – 1MDB PetroSaudi – walaupun tanpa rekod prestasi yang ketara.

PSI menubuhkan 1MDB PetroSaudi, bermula dari kosong, pada 18 September 2009, hanya 10 hari sebelum anak syarikatnya menerima AS$1 bilion daripada 1MDB.

Laman web yang sering membuat pendedahan, Sarawak Report, mengemukakan dokumen menunjukkan empat hari selepas 1MDB PetroSaudi wujud, PSI menandatangani perjanjian mengatakan anak syarikat itu berhutang AS$700 juta dengannya.

Kemudiannya pada 29 September, 1MDB membeli 40% saham-saham baru dalam 1MDB PetroSaudi dan menyuntik RM1 bilion dalam bentuk wang tunai. Keesokan harinya, AS$700 juta dibawa keluar daripada 1MDB PetroSaudi dan diberi kepada PSI.

Pua menegaskan, butir-butir perjanjian itu tidak dilaporkan dalam laporan kewangan pertama 1MDB pada Mac 2010 kerana perjanjian itu ditamatkan 6 bulan kemudian pada 31 Mac 2010 – yang kebetulan hari terakhir laporan kewangan itu.

Beliau berkata pelaburan AS$1 bilion itu dinilai semula kepada AS$1.2 bilion dan dijual kembali ke PSI tetapi wang itu sebaliknya ditukar balik kepada 1MDB PetroSaudi dalam bentuk nota Murabaha atau pinjaman Islam.

"Sebelum ini, saya membangkitkan persoalan sama ada penukaran saham itu kepada bentuk pinjaman ialah bagi melindungi penipuan usaha sama itu. Dengan menukar ia ke dalam bentuk pinjaman kepada PetroSaudi, 1MDB kemudiannya dapat mengelak daripada melaporkan butiran ciri utama perjanjian usaha sama itu dalam Laporan Kewangan 2010," katanya.

"Tindakan 1MDB menimbulkan syak wasangka yang kuat wujudnya sesuatu yang tidak betul, kerana jika 1MDB memutuskan usaha dengan PetroSaudi tidak berjaya, mengapa tidak terus menarik balik pelaburan AS$1.2 bilion itu sepenuhnya?"

Susulan dakwaan itu, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mendakwa 1MDB memperoleh keuntungan AS$488 juta (RM1.78 bilion) daripada usaha sama dengan PetroSaudi itu.

Sambil mengakui terkejut dengan perhatian yang diberi kepada perjanjian usaha sama itu, Arul Kanda berkata, nota Murabaha itu dibayar balik sepenuhnya pada 2013, sambil menambah ia dimaklumkan dalam akaunnya bagi tahun berakhir 31 Mac, 2013.

Pua, yang menggelar perjanjian itu satu penipuan, berkata melainkan KPMG yakin tidak ada unsur penipuan dalam usaha sama itu selepas menjalankan satu proses audit menyeluruh, ia hendaklah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

"Orang ramai meletakkan kepercayaan terhadap juruaudit dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Juruaudit perlu mengimbangi antara kepentingan yang wujud dalam memainkan peranan mereka dan memberikan perkhidmatan awam.

"Dalam kes ini, melainkan jika mereka yakin selepas proses audit menyeluruh tiada unsur mencurigakan dari segi penipuan atau penyalahgunaan dana kerajaan, juruaudit itu wajib melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan, seperti polis atau bahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.

Pua yang juga setiausaha publisiti DAP Kebangsaan menggesa KPMG mengisytiharkan peranannya dalam skandal PetroSaudi dan mendedahkan sama ada pernah ada kecuaian dan pengabaian audit di pihaknya ke atas 1MDB.

"Kegagalan berbuat demikian akan memerlukan siasatan terhadap peranannya oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) sebagai badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Akauntan, 1967 untuk mengawal selia profesion perakaunan.”

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .