» » 'Strategi rasionalisasi perbelanjaan Malaysia tidak perlu pun dibentangkan di Parlimen'


Strategi dan langkah merasionalisasikan perbelanjaan negara yang diumum perdana menteri pada Selasa lepas tidak perlu dibentang dan dibahas di Parlimen kerana tidak melibatkan peruntukan tambahan kepada Bajet 2015, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee .

Beliau berkata pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak mengenai unjuran semasa ekonomi negara adalah hanya proses pentadbiran biasa oleh kerajaan yang memerintah.

"Jika ada penambahan (peruntukan) kerajaan akan buat dalam bentuk (bajet) tambahan ... pengumuman ini (rasionalisasi perbelanjaan negara) cuma proses pentadbiran mengenai beberapa program baharu yang akan dilaksanakan dan program lain yang tidak akan dilaksanakan.

"Aturan Mesyuarat (untuk dibentangkan di Parlimen) hanya perlu jika ia melibatkan penambahan kepada bajet," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Jawatankuasa Kebajikan dan Kesihatan Parlimen Korea Selatan di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Kiandee berkata demikian bagi mengulas kenyataan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada DAP yang mendakwa perdana menteri menghina Parlimen kerana membuat pengumuman mengenai kedudukan perkembangan ekonomi di luar Dewan Rakyat.

Selasa lepas, Najib membentangkan strategi dan langkah proaktif bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan Malaysia dapat diteruskan berikutan perubahan dalam landskap ekonomi global di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Sementara itu, Kiandee berkata Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-13 bagi Dewan Rakyat tahun ini akan bersidang selama 20 hari bermula 9 Mac ini.

Bagaimanapun, jelasnya sebarang maklumat lanjut mengenainya hanya akan diberitahu seminggu sebelum persidangan bermula.

Mengenai kunjungan itu, Kiandee berkata ia antara lain bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan terutamanya dalam bidang kesihatan.

Katanya delegasi itu turut meminta sokongan Parlimen Malaysia terhadap usaha mereka untuk menubuhkan kesatuan Parlimen mengenai penjagaan kesihatan dan perubatan.

Delegasi seramai 14 orang itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kebajikan Kim Choon Jin. Turut serta Duta Korea Selatan di Malaysia Cho Byungjae.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .