Bagi sesiapa yang mahu tahu tentang Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) pastinya mencari maklumat di Internet, daripada aktiviti harian pejuang, masakan isteri militan, kepada agenda besar pengganas membentuk khalifah baru di Timur Tengah.
Isis mempunyai pakar strategi yang menjaga propaganda secara atas talian, termasuk menghasilkan kandungan bagi mempengaruhi orang ramai menyertainya.
Antara hasil terbarunya ialah risalah berserta ayat Al-Quran mengandungi hamba wanita yang dimanipulasi dan digunakan untuk kepentingan mereka.
"Isis berstruktur baik dengan memfokuskan kepada dua bahagian atas talian dan (fizikal) tentera. Mereka kuat kerana mereka tahu cara mendapat perhatian orang ramai melalui atas talian dan media sosial. Mereka tahu mencari penyokong," kata sumber yang bekerja dalam jabatan anti pengganas.
Pegawai perisik berkata, Isis baru-baru ini menghasilkan satu risalah yang dikongsi melalui salah satu akaun Twitter pada November.
Risalah dicetak sendiri oleh Al Himma Library, bertajuk 'Su'al wa-Jawab di al-Sabi wa-Riqab', bermaksud soal jawab mengambil tahanan dan hamba.
Dalam risalah itu, beberapa ayat Al-Quran digunakan bagi menyokong tindakan mengambil hamba seks dan melakukan seks dengan perempuan bawah umur yang dikatakan dibenarkan dalam Islam.
Menggunakan format soal jawab, salah satu soalan yang dipaparkan "Adakah melakukan persetubuhan dengan tahanan wanita dibenarkan?"
Dalam jawapannya, risalah itu berkata perkara itu dibenarkan dan "Allah berfirman:"Orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela (Qs 23:5-6)"
"Ayat Al-Quran dimanipulasikan berulang kali untuk menunjukkan tindakan mereka dibenarkan, sama dengan membunuh bukan Islam dan tidak berdosa membunuh mereka," kata sumber.
Ayat itu, dibaca secara berasingan, menyebabkan ramai percaya dengan kekejaman Isis sedangkan Al-Quran sepatutnya dibaca dan difahami konteks sepenuhnya, kata sumber.
"Mereka datang dengan kitab suci sendiri menggunakan ayat Al-Quran untuk meyakinkan orang. Siapa yang kurang ilmunya amat mudah termanipulasi.
"Satu ayat berkaitan dengan ayat lain jadi ia perlu dibaca keseluruhannya. Ini masalah mereka yang mencari panduan tetapi tidak membacanya dengan betul," katanya.
Turut membimbangkan ialah risalah itu juga mudah didapati secara atas talian.
Setakat ini, polis Malaysia belum merampas sebarang bahan cetakan sedemikian daripada rakyat negara ini yang ditahan terlibat dengan Isis. Difahamkan barang yang dirampas kebanyakannya bendera dan barang-barang kecil.
Sehingga kini, 67 rakyat Malaysia ke Iraq dan Syria, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan semalam.
Manakala 120 orang kini dalam tahanan polis kerana disyaki mempunyai kaitan sebagai penyokong Isis, kata Zahid.
Rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan Isis di Timur Tengah dipengaruhi melalui media sosial, menurut sumber risikan sebelum ini.
Sehingga kini, lima daripadanya terbunuh dalam pertempuran.
Pada 26 November tahun lalu, Parlimen meluluskan usul memerangi ancaman Isis, dengan jaminan untuk membentuk satu undang-undang baru membanteras ancaman pada masa akan datang, lapor Bernama.
Zahid berkata, cadangan Akta Anti Pengganas akan menekankan tentang langkah pencegahan.
sumber
No comments: