» » 'Semakan Belanjawan Malaysia 2015 dibuat secara CINCAI'


PAS hari ini membidas pembentangan semakan Belanjawan 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa ia dibuat dengan "cincai".

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, amat menghairankan meskipun Putrajaya mempunyai pakar ekonomi namun gagal mengesan trend penurunan harga minyak yang dijangka akan terus berlaku.

"Pada ketika ini ‎ Najib membuat semakan belanjawan berdasarkan penyesuaian kedudukan kewangan dengan berasaskan unjuran harga minyak AS$55 dolar setong.

"Bagaimana nanti sekiranya harga turun dan laporan antarabangsa meramalkan beberapa bulan akan datang ia mungkin jatuh sehingga AS$40 dolar setong.

"Adakah ini bermaksud apabila berlaku penurunan mendadak maka kerajaan terpaksa sekali membentangkan belanjawan mengikut unjuran? Namun, ketika itu tidak mustahil pembentangan akan dijalankan di tepi jalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya, perbelanjaan mengurus kerajaan dijangka berkurangan sebanyak RM5.5 bilion melalui penilaian semula keutamaan perbelanjaan, kata Najib.

Perbelanjaan bagi pembangunan dikekalkan pada RM48.5 bilion, sebagaimana bajet asal yang dibentangkan pada Oktober tahun lepas.

Najib berkata, langkah itu termasuk projek mesra rakyat seperti perumahan awam, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan infrastruktur pengangkutan awam seperti Lebuh Raya Pan-Borneo.

Semakan ini ekoran kejatuhan harga minyak yang kini berada pada paras AS$50 setong.

Belanjawan 2015, apabila dibentangkan pada Oktober tahun lepas, mempunyai unjuran perbelanjaan RM273.9 bilion dalam perbelanjaan dan RM235.2 bilion pendapatan. Ia disandarkan kepada harga minyak kira-kira AS$100 setong.

Mahfuz antara lain berkata pembentangan semakan bajet tersebut dianggap cincai apabila Najib tidak membentangkan di Parlimen.

"Semasa pembentangan saya lihat ramai ahli Parlimen Barisan Nasional dijemput tetapi bukan Pakatan Rakyat.

"Namun dijemput atau tidak bukan masalah, namun kita persoalkan kenapa tidak dibentangkan di Parlimen, Ini merupakan bajet unjuran baru, ia sewajarnya perlu ada sidang khas, namun mana ketelusannya, tiada perdebatan, tiada cadangan," katanya.

Selain itu Mahfuz juga membidas, seperti biasa pentadbiran Najib akan mengamalkan sindrom penafian meskipun krisis kejatuhan wang ringgit Malaysia menjadi bualan antarabangsa.

"Ia sama seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mereka menafikan kononnya tidak ada krisis namun hakikatnya adalah sebaliknya.

"Kita gesa kerajaan lebih telus dalam menjelaskan masa depan ekonomi negara" katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu dilihat membidas beberapa pendekatan penjimatan yang diumumkan antaranya ialah pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

"Kenapa perlu memansuhkan.. mereka (Najib) sedar dengan tiadanya PLKN ia dapat menjimatkan RM400 juta duit negara.

"Sewajarnya ia tidak dimansuhkan namun dihapuskan terus adalah lebih baik sistem itu diserap masuk ke dalam pendidikan rendah dan menengah yang saya kira lebih menjimatkan wang serta dekat dengan matlamat," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan tindakan Putrajaya yang sepatutnya bukan saja tidak menaikkan tarif elektrik namun perlu mengurangkan kadar sedia ada atau memberi potongan harga kepada pengguna.

"Mengekalkan kadar tarif elektrik tidak akan dapat menyelesaikan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

"Sepatutnya kerajaan menurunkan tarif elektrik atau memberi potongan harga, saya rasa tidak ada masalah untuk berbuat demikian, kerana jelas bukan saja harga minyak namun arang batu juga turun, jadi berdasarkan itu pengurangan tarif wajar dilaksanakan," katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .