Kelewatan projek stesen janakuasa bebas Jimah Timur milik syarikat pelaburan strategi negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal membawa kerugian apabila rakyat dipaksa menanggung hutang kos tambahan sehingga hampir RM1 bilion, kata Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu berkata 1MDB memohon kepada Suruhanjaya Tenaga supaya tarikh yang sepatutnya beroperasi pada 15 November 2018, dianjak enam bulan kepada 15 Mei 2019 bagi Unit 1 dan 15 November bagi Unit 2.
"Saya sudah melihat dan mengesahkan dokumen-dokumen yang menganggarkan kos tambahan yang perlu ditanggung rakyat akibat kelewatan 1MDB ini adalah di antara RM370 juta, jika kelewatan minima 6 bulan sehingga RM997 juta, jika kelewatan mencecah 1 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, beliau mempunyai maklumat terperinci mengenai rundingan antara Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB, apabila 1MDB menulis secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga pada 13 November 2014 untuk mendapat tempoh lanjutan dan satu mesyuarat diadakan di antara dua terbabit pada 4 Disember 2014.
1MDB sebelum ini dianugerahkan kontrak untuk menyiapkan stesen janakuasa dengan kapasiti janaan 2,000 MW untuk dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad.
Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA) yang ditandatangani menetapkan unit 1 stesen janakuasa itu perlu beroperasi pada 15 November 2018, diikuti dengan operasi unit 2 pada 15 Mei 2019.
"Jika Suruhanjaya Tenaga membenarkan permohonan 1MDB, rakyat akan menanggung kos tambahan kerana Tenaga Nasional sebagai pembekal elektrik tunggal negara terpaksa meningkatkan operasi stesen janakuasa lain di luar kapasiti biasa untuk menampung bekalan elektrik yang gagal disediakan mengikut jadual oleh 1MDB.
"Kos ini akan ditanggung rakyat dalam bentuk tariff elektrik yang lebih tinggi apabila Tenaga Nasional terpaksa menampung keperluan elektrik yang dijana pada kos yang lebih mahal akibat kegagalan 1MDB menyiapkan stesen janakuasa mengikut perjanjian," katanya.
Beliau bimbang jika stesen janakuasa lain terpaksa beroperasi melepasi kapasiti biasa, Tenaga Nasional terpaksa membeli bahan bakar melebihi dari kontrak bekalan bahan api bagi operasi biasa.
Malah katanya, stesen janakuasa terdedah kepada risiko kerosakan sekiranya terus beroperasi di luar kapasiti biasa.
Rafizi yang juga setiausaha agung PKR menyeru Suruhanjaya Tenaga membuat pendirian jelas dan tidak memberi ruang kepada 1MDB melewatkan projek stesen janakuasa Jimah Timur kerana kos yang ditanggung rakyat terlalu tinggi.
"Jika ia masih tidak boleh menyiapkan stesen janakuasa itu mengikut tarikh yang dipersetujui, saya desak supaya kontrak yang menganugerahkan stesen janakuasa ini kepada 1MDB dibatalkan kerana melanggar perjanjian dan satu proses tender terbuka dimulakan untuk melantik syarikat baru membina dan mengendalikan stesen janakuasa Jimah Timur," katanya.
Rafizi pada sidang media pada 7 Januari lalu berkata, kelewatan projek itu disebabkan masalah aliran wang tunai yang dihadapi 1MDB apabila gagal membayar hutang RM2 bilion mengikut jadual.
Beliau mendakwa, Jimah Timur merupakan aset berharga di antara stesen janakuasa yang dibeli 1MDB sebelum ini dan mampu menarik minat pelabur membeli saham 1MDB apabila tersenarai di bursa.
Katanya, 1MDB memerlukan suntikan kewangan daripada penyenaraian aset penjana bebas untuk mengimbangi hutangnya yang mencecah RM42 bilion bagi tahun 2014.
Namun katanya, kelewatan projek itu dijangka akan melewatkan proses penyenaraian anak syarikat 1MDB di papan bursa, sekaligus melemahkan lagi kedudukan kewangannya.
No comments: