» » 'Najib perlu jelaskan tujuan pesawat rasmi kerajaan M'sia keliling dunia'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan tujuan jet rasmi kerajaan Malaysia, 9M-NAA dipercayai diterbangkan ke beberapa kawasan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand dalam tempoh beberapa hari sejak 31 Disember hingga semalam.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung berkata semakan menggunakan aplikasi 'Flightradar' mendapati pesawat itu terbang ke New York dari Indianapolis, dan ke New York dari Los Angeles, Amerika Syarikat pada 31 Disember, manakala pada 1 Januari, pesawat itu meneruskan perjalanannya ke Dubai, dari London dan Bangkok dari Dubai.

"Nampaknya jet misteri tersebut akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

"Yang menarik perhatian saya ialah 'misi misteri' ini bergerak ke arah barat dari Indianapolis ke Los Angeles, tetapi kemudian ke arah timur pula dari Los Angeles ke New York. Apakah tujuan penerbangan yang berulang-alik dan pelik itu?" soalnya, dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu itu berkata, ketiadaan jet rasmi kerajaan selama 7 hari ketika Malaysia dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah menjadi tanda tanya orang awam dan menimbulkan keraguan masyarakat antarabangsa.

"Tiada pemimpin yang berintegriti akan menggunakan jet rasmi kerajaan untuk bercuti, apatah lagi dalam keadaan rakyat sengsara menghadapi malapetaka yang menyakitkan ini.

"Tambahan pula, jet tersebut boleh ditinggalkan untuk penggunaan 'VIP misteri' untuk terbang ke sana sini sempena pesta Krismas dan Tahun Baru di negara barat," katanya.

Beliau sebelum ini mendakwa, penggunaan jet VIP Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) M53-01 untuk menghantar Najib pulang ke Malaysia, adalah pembaziran kerana beliau boleh balik dengan jet 9M-NAA.

Katanya, ia membazirkan wang rakyat sebanyak RM73,620 sebagai pembayaran kos bahan api.

Lee berkata, wang sejumlah itu sepatutnya boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir.

"Jumlah ini belum termasuk kos penggunaan jet asal 9M-NAA yang sudah pasti akan mencecah jutaan ringgit," katanya.

Selaku pengguna jet rasmi 9M-NAA, Lee berkata, Najib wajib memberikan penjelasan tujuan penggunaan jet tersebut, dan adakah ia diguna pakai oleh keluarga atau isterinya.

Beliau juga mahu tahu adakah perbelanjaan pesawat itu akan ditanggung rakyat yang kini menderita akibat banjir ini.

"Saya turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat dan gambar 'VIP misteri' yang menggunakan jet tersebut supaya membekalkan informasi kepada PKR dan saya untuk pendedahan lanjut," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .