Kumpulan 25 Melayu profesional terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan masyarakat sivil bagi menerangkan matlamat perjuangan mereka, namun tidak kepada parti politik, kata jurucakap kumpulan berkenaan, Datuk Noor Farida Ariffin.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, bekas diplomat Malaysia ke Belanda itu berkata, terdapat beberapa kumpulan Melayu yang tersalah tafsir matlamat perjuangan mereka sehingga menganggap mereka seolah-olah menghina agama Islam.
"Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana kumpulan progresif lain. Salah satunya ialah Aura Merdeka Ikatan Sejagat. Kami terbuka kepada mana-mana pertubuhan sivil, tetapi tidak parti politik. Kami tidak mahu digunakan pemimpin politik.
"Kami juga tidak mahu dilihat terlalu sombong jika enggan menemui mereka, itu pun kalau mereka ada menjemput kami," katanya.
Farida berkata, Pejabat Perdana Menteri ada menghubungi kumpulan berkenaan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun beliau tidak boleh mengulas lanjut butiran berkenaan perkara itu.
"Saya tidak berhak berkata lebih lanjut, sebarang pengumuman akan dibuat Pejabat Perdana Menteri, dan bukan G25," katanya, merujuk kepada nama singkatan kumpulan berkenaan.
Fokus utama G25 katanya, ialah mahu Najib memberikan perhatian kepada saranan dalam surat terbuka yang dikeluarkan mereka sebelum ini dan melihat ia dilaksanakan.
"Fokus kami sekarang ialah untuk melihat kerajaan menerima cadangan kami dalam surat terbuka dan jika boleh, melaksanakannya," katanya.
Beliau bagaimanapun sedia maklum, permintaan mereka untuk bertemu empat mata dengan perdana menteri terpaksa ditunda sehingga selesai krisis banjir di negara ini.
"Ya betul, kami tetap berhasrat menemui perdana menteri. Tetapi kami memahami kesibukan beliau ketika ini memandangkan krisis banjir di negara kita.
"Pejabat Perdana Menteri ada menghubungi kami atas arahan perdana menteri, tetapi saya tidak boleh kata lebih lanjut," katanya.
Kumpulan berkenaan sebelum ini mendakwa, Majlis Perundingan Melayu (MPM) tidak pernah dilantik pejabat perdana menteri sebagai wakil untuk berbincang dengan kumpulan itu, seperti didakwa Setiausaha Agung MPM Datuk Hasan Mad, sebelum ini.
Malah, Farida turut berkata, pihaknya sendiri tidak mengetahui kewujudan pertubuhan bukan kerajaan itu.
Mengulas pandangan orang ramai mengenai kritikan yang dibuat G25 bulan lalu terhadap sistem Mahkamah Syariah di negara ini, beliau berkata ia tidak bertujuan menghina Islam.
"Ramai orang Melayu tidak memahami had dan sekatan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menguatkuasakan enakmen, termasuk undang-undang Syariah.
"Mereka merasakan kami menghina Islam, sedangkan mereka tidak menyedari enakmen Syariah dibuat oleh manusia dan diluluskan ketika sidang DUN," katanya.
sumber




No comments: