Air banjir di Kelantan sudah surut, tetapi kini jalan-jalan di Kuala Krai dibanjiri banjir berbeza – bau sampah, perabot rosak, barang-barang pecah dan bertan-tan pakaian yang tidak diingini didermakan melimpah keluar di bahu jalan.
Mangsa banjir sudah mengosongkan rumah dan kedai mereka untuk membuang barang-barang yang dimusnahkan air berlumpur, tetapi dengan bandar masih terkesan daripada bencana tersebut, timbunan sampah menimbuni di setiap beberapa meter dan masih tidak dikutip, mengundang haiwan perosak dan risiko penyebaran penyakit.
Bagaimanapun banjir bahan terbuang bukan berita buruk untuk semua – bagi penduduk kampung yang mendapatkan pendapatan sampingan daripada menyelamat dan menjual barangan terbuang, timbunan sampah tersebut ialah lubuk emas.
"Dalam tempoh enam hari sejak banjir surut, saya sudah memperolehi sekitar RM50 hingga RM70 sehari daripada mengumpul sisa logam dan barangan elektronik yang dibuang," kata Mohd Syukri Abdul Rahman, 37.
"Hasil kutipan seharian saya adalah sekitar 400kg dan saya bawa barang-barang tersebut ke satu tempat di Kota Baru untuk dijual."
Syukri yang berasal dari Tumpat, tidak terjejas akibat banjir, tetapi pergi ke Kuala Krai setiap hari bersama dua rakannya untuk menggeledah longgokan sampah yang dapat diselamatkan.
Seakan-akan tidak sedar keadaan panas terik dan bau busuk yang terlampau, Syukri berhati-hati memanjat longgokan sampah, membongkokkan badan sekali-sekala untuk mengangkut sebuah basikal yang rosak atau bingkai katil yang ditinggalkan mangsa banjir.
Di Tanah Merah, Hamid (bukan nama sebenar) memberitahu The Malaysian Insider, dia sering mengunjungi tepi sungai bersama dua orang anaknya seminggu sekali untuk mencari sisa-sisa yang boleh dijual, dan banjir kali ini menghasilkan lebih banyak daripada biasa.
"Kebanyakan orang membuang plag elektrik, kabel... ini boleh menghasilkan sejumlah wang yang agak banyak," katanya, sambil anak-anaknya menjolok sampah ke pasir dengan kayu.
Bersebelahannya, seorang wanita yang enggan memberitahu namanya sedang mengutip periuk-periuk daripada pasir dan mencucinya dengan air sungai.
"Ini kali pertama saya di sini. Saya hanya mahu mencuba nasib," katanya malu-malu, enggan memberikan maklumat lanjut.
Di Jalan Halimah, berhampiran Hospital Kuala Krai, sebuah tapak kosong ditukar menjadi tempat lambakan tidak rasmi. Bau busuk yang meleleh, timbunan sampah tidak terlepas kerana ia terletak benar-benar di jalan utama.
Lori-lori dapat dilihat mengangkut sampah yang berbau busuk itu dari tapak tersebut, bagaimanapun lebih ramai lagi mangsa banjir yang masih membuang barang-barang mereka di sana.
Sepanjang jalan ke Gua Musang, udara di kawasan tertentu tebal dengan asap kerana sesetengah penduduk kampung terpaksa melakukan pembakaran terbuka untuk mengelakkan timbunan sampah tersebut.
Di pedalaman kampung-kampung, baju kurung berwarna-warni yang didermakan rakyat Malaysia yang prihatin terdampar dibuang berlonggokan di tepi jalan, sebahagian daripadanya basah, di dalam kotak-kotak yang separuh terbuka.
Penduduk tempatan memijak pakaian berlumpur tanpa kisah, walaupun mereka mengadu apa yang mereka benar-benar perlukan – jaring nyamuk, pancutan air untuk pembersihan rumah mereka, selimut dan khemah – ia sukar didapati.
"Kami mendapat terlalu banyak pakaian," kata seorang penduduk tempatan yang bernama Hamzah Daud, 25, ketika ditemui di Kampung Manek Urai Lama.
"Pada ketika ini, semua orang hanya mengambil apa sahaja pakaian yang sesuai dan membuang yang lain."
sumber
No comments: