Belum terjawab isu RM4 bilion di Pulau Cayman, DAP mempersoalkan lagi strategi pelaburan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kali ini melibatkan dana pinjaman sebanyak US$1.56 bilion (RM5.55 bilion) di Abu Dhabi.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, menurut penyata kewangan syarikat semasa suku pertama tahun lalu, sebanyak US$1.56 bilion diletakkan di pelbagai portfolio pelaburan di bawah “jagaan institusi kewangan berlesen dengan nilai kredit yang baik mengikut penilaian agensi penarafan kredit antarabangsa".
Pua berkata, jumlah itu berasal daripada pinjaman US43 bilion yang diambil 1MDB pada Mac 2013 untuk perkongsian pelaburan dengan kerajaan Abu Dhabi membentuk Perbadanan Pelaburan Abu Dhabi Malaysia (Admic).
Namun katanya, dua tahun kemudian, Admic masih tidak berfungsi sementara baki US$1.44 bilion sudah 'digunakan oleh syarikat untuk modal kerja dan bayaran semula hutang'.
"Persoalannya, di mana US$1.56 bilion itu diletakkan dan dilaburkan? Adakah dana ini juga diuruskan oleh pengurusan misteri dan tidak boleh dinamakan atas sebab kerahsiaan kewangan sama seperti di Pulau Cayman?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, seperti isu di Pulau Cayman, pelaburan US$1.56 bilion dengan institusi kewangan berlesen itu juga diklasifikasikan sebagai aset Tahap 3 oleh juruaudit dalam laporan kewangan.
Katanya, sesuatu aset diklasifikasikan sebagai Tahap 3 apabila 'ukuran nilai dibuat mengikut teknik penilaian, termasuk input untuk aset atau liabiliti yang bukan berdasarkan daripada pasaran data yang tidak dapat dilihat.
"Dalam bahasa mudah, Deloitte Malaysia mengatakan tidak ada cara bagi mereka dapat mengesahkan nilai sebenar pelaburan itu," katanya.
Beliau menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang baru dilantik, Arul Kanda bersikap telus dan bertanggungjawab mendedahkan status tambahan US$1.56 bilion, termasuk nama dan lokasi pengurus dana serta kadar pulangannya.
"Sekiranya Admic mungkin tidak dapat memulakan operasinya dalam masa terdekat, adakah 1MDB akan mempertimbangkan untuk menyelamatkan dana itu dengan bantuan masalah bayaran semula hutang yang dihadapi syarikat?
"Rakyat Malaysia berhak tahu jika 1MDB menghadapi masalah besar dalam pelaburan," katanya.
1MDB sebelum ini dikritik hebat apabila meminjam dana kerajaan sebanyak RM42 bilion dan mengalami masalah aliran wang tunai negatif RM2.25 bilion semasa suku tahun pertama kewangan Mac 2014 dengan hutang kira-kira RM2.5 bilion.
Pua sebelum ini mempertikaikan baki pelaburan RM4.07 bilion di Pulau Cayman yang sepatutnya diperoleh semula sepenuhnya pada November 2014.
Namun Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, dana itu hanya "dijangka dapat ditebus semula pada bulan akan datang", sekaligus bertentangan dengan penyata dalam laporan kewangan dan menunjukkan tidak ada petanda wang itu dapat dikembalikan semula ke Malaysia atau 1MDB.
1MDB melaburkan sejumlah US42.32 bilion dalam 'dana portfolio yang diasingkan' pada tahun 2013, sebahagian US$1.22 bilion sudah diperoleh semula 1MDB seperti yang diarahkan oleh lembaga pengarah pada 1 Ogos 2014, manakala baki US$1.23 masih tidak dijelaskan.
Lodin pada bulan lalu berkata, penghantaran semula dana ke Malaysia akan mendedahkan wang itu kepada pasaran pertukaran asing yang tidak stabil.
sumber
No comments: