Khutbah Jumaat yang disampaikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lebih bersifat berat sebelah dan terlalu mengungguli Putrajaya, kata Datuk A Samad Said.
Sasterawan Negara itu berkata, ekoran khutbah Jakim yang dilihat lebih cenderung ke arah itu, Masjid India menjadi pilihannya untuk menunaikan solat Jumaat sejak lebih setahun lalu.
“Dari dulu lagi saya mengambil keputusan untuk tidak berjumaat di Masjid Negara kerana khutbahnya sangat berat sebelah. Saya memang langsung tidak mahu dengar benda-benda yang berat sebelah dan selalu mengungguli kerajaan.
“Bukan berkhutbah menceritakan sejarah Islam, apa sumbangan Islam terhadap umat tetapi lebih banyak bersifat siasah atau politik yang memihak kerajaan yang tiada tolok bandingnya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu berkata, berat sebelah yang dimaksudkannya ialah khutbah dijadikan medium untuk menyerang pembangkang.
Katanya, dengan menyelitkan elemen sedemikian, khutbah tidak lagi dilihat sebagai medan memupuk umat Islam meningkatkan amal ibadah.
“Berat sebelah ertinya isu yang ditimbulkan menyerang pembangkang. Boleh menyerang pembangkang tetapi mesti mempunyai had dan kewajaran tertentu.
“Ini tidak, asyik menyerang pembangkang dalam khutbah. Langsung tidak menyenangkan hati saya. Khutbah untuk memupuk orang beribadah bukan untuk bergaduh politik,” katanya.
Sasterawan negara yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad itu berkata, beliau mula bersolat Jumaat di Masjid India sejak November 2013.
Katanya, khutbah di Masjid India itu lebih selesa didengarnya kerana tidak perlu memahami kandungan khutbah yang disampaikan dalam bahasa Tamil.
“Saya biasa mendirikan solat Jumaat di Masjid Negara, tetapi dua minggu lalu saya solat di Masjid India.
“Ini kerana saya tidak suka khutbah di Masjid Negara apabila khatibnya membaca khutbah bukan berkhutbah,” katanya dalam satu temu
bual bersama The Malaysian Insider dua tahun lalu.
“Aktiviti saya dua hari dalam seminggu pasti dihabiskan di Masjid Negara, tetapi apabila khutbah Jumaat saya pindah di tempat lain. Khutbah sekarang terlalu sendat dengan politik.”
Jakim dalam khutbahnya sebelum ini pernah meyakinkan hadirin GST tidak akan membebankan rakyat dan ia sebagai satu kaedah penyusunan semula sistem percukaian negara.
Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera turut mendapat liputan khutbah Jakim yang menggambarkan kaum Bumiputera masih ketinggalan dalam bidang ekonomi meskipun umat Islam merupakan kaum majoriti negara ini.
Semalam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata khutbah Jumaat tidak pernah sama sekali menggalakkan ekstremisme sebagaimana yang didakwa pihak tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata khutbah ialah rukun dalam solat Jumaat yang disampaikan secara lisan dan berunsur pendidikan untuk memberi nasihat keagamaan, menaikkan semangat dan menimbulkan keinsafan.
"Ia juga menyampaikan dasar-dasar negara dan isu-isu semasa hanya sesama orang Islam. Adakah peringatan sesama umat Islam ini wajar dikatakan ekstrem?
"Tuduhan individu berkenaan bersifat provokasi kepada keharmonian antara agama yang dinikmati selama ini.
"Kenyataan beliau boleh disalah tafsir secara mudah ia merujuk kepada khutbah Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, peguam Eric Paulsen akan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mendakwa Jakim mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.
“Kenyataan sebegini memang wajar kita siasat mengikut Akta Hasutan,” katanya melalui laman sosial, Twitter.
Paulsen dipercayai membuat catatan di akaun Twitternya mengatakan:“Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.
sumber
No comments: