Wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin melontarkan 18 soalan buat "pendakyah, tukang cerita dan tentera siber Perdana Menteri", Datuk Seri Najib Razak.
Ia berkisar kepada pengurusan 1MDB, perisytiharan darurat sewaktu banjir, kemerosotan nilai ringgit, serta pengurusan hasil negara.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu mengemukakan soalan-soalan tersebut menerusi tulisan terbaru di blognya.
"Mengapakah PM tidak mengisytiharkan darurat kerana banjir besar sedangkan kerajaan mengisytiharkan darurat ketika berlaku wabak SARS pada tahun 2009 dan jerebu pada tahun 2013?
"Bagaimanakah PM, sebagai menteri kewangan, hendak melestarikan Belanjawan 2015 apabila harga minyak mentah sudah jatuh di bawah paras AS$50 setong sedangkan anggaran belanjawan adalah antara AS$100 hingga AS$105 setong?
"Bolehkah GST dan punca-punca lain pendapatan menampung kejatuhan hasil akibat kemerosotan harga minyak mentah yang menyumbang hampir 40 peratus kepada perolehan kerajaan?"
Ini antara soalan-soalan yang dikemukakan Kadir.
Menurut Kadir, soalan itu perlu dijawab kerana mereka kini lebih cenderung mengkritik peribadi pengkritik Najib berbanding daripada menjawab isu-isu semasa.
"Daripada cuba membunuh pembawa khabar adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu," sindir Kadir lagi.
Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, Kadir turut membidas wartawan media arus perdana Media Prima yang dilihat rancak "membelasah" bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Menurutnya, berita-berita yang disebarkan wartawan tersebut sebenarnya berfungsi sebagai "penyambung lidah" kepada Pakatan Rakyat yang mempunyai dendam lama dengan Daim.
"Mengapa tidak? Daim adalah antara orang penting memainkan peranan menaik dan menurunkan Anwar dalam politik negara.
"Mereka tahu perisikan, analisis dan strategi Daim lebih hebat daripada mana-mana pihak dalam Umno dan BN.
"Oleh sebab Daim tidak berminat dalam politik maka analisis dan strategi beliau adalah lebih bebas dan berkecuali.
"Tambah memeningkan Pakatan adalah hakikat bahawa Daim mempunyai perhubungan baik dengan sesetengah orang mereka sendiri.
"Di kalangan penyokong dan petugas Mohd Najib pula, ramai bimbang perdana menteri meminta atau menerima nasihat Daim.
"Mereka tidak mahu kemungkinan itu berlaku kerana nasihat Daim mungkin merugikan mereka.
"Jadi mereka berusaha melemahkan kredibiliti Daim dan pada masa yang sama cuba melaga-lagakan Mohd Najib dengan Daim," katanya.
sumber
No comments: