Izwan, yang menjalankan perkhidmatan kurir, risau bagaimana dia mahu mencukupkan keperluannya apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan sementara pelanggannya berdepan dengan tahun yang sukar.
Ketika Putrajaya mengumumkan semakan bajet negara pada saat kejatuhan harga minyak sehingga AS$50 setong dan ringgit yang lemah, rakyat biasa seperti Izwan dan pakar ekonomi mahu kerajaan menangguhkan cukai itu, yang dijadualkan pelaksanaannya pada April.
Penangguhan GST adalah antara senarai impian kerana ia kaedah yang mereka percaya amat diperlukan bagi memberi negara ruang bernafas untuk mengharungi keadaan ekonomi mencabar tahun ini.
Permintaan lain termasuk mengurangkan projek mega, memotong bajet jabatan kerajaan yang besar dan membersihkan hutang 1Malaysia Develioment Fund (1MDB).
Sesetengah penganalisis, juga memberi amaran bajet berjimat-cermat tidak sepatutnya bermakna memotong keperluan untuk perkhidmatan awam yang penting seperti untuk sekolah, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan.
Berdepan dengan jangkaan pertumbuhan
Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong dan pakar lain yang ditemu bual The Malaysian Insider menjangkakan ekonomi negara merosot berikutan kejatuhan harga minyak, ringgit yang lemah dan rakan dagangan ekonomi Malaysia yang perlahan.
Yin percaya keadaan ekonomi akan jatuh serendah 50% daripada krisis kewangan 2008, susulan rakan dagangan Malaysia seperti China, Jepun dan Kesatuan Eropah juga menghadapi ekonomi yang perlahan.
“Memandangkan kepada kebergantungan dagangan Malaysia, keadaan tidak kelihatan baik. Jika kerajaan menandangani perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA), persaingan perdagangan kita akan bertambah buruk,” kata Yin.
“Menyemak jangkaan pertumbuhan menurun sekurang-kurangnya peratusan penuh antara 4%-5% ialah kedudukan yang lebih realistik. Ini juga akan meletakkan tekanan kepada nisbah hutang-kepada-KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya.
Pakar ekonomi persendirian Azrl Azwa Ahmad Tajudin meramalkan pertumbuhan akan berlaku antara 3.5% -4.5% tahun ini, bertentangan dengan sasaran kerajaan iaitu 5% - 6% dalam Bajet 2015.
Azrul bagaimanapun berpendapat keadaan tidak akan seteruk pada 2008 atau ketika krisis kewangan 1998.
“Kalau paling teruk sekalipun, tanpa campur tangan tergempar atau mencukupi daripada kerajaan, kita mungkin lihat penurunan besar terhadap trend pertumbuhan di bawah purata 2% tetapi pertumbuhan KDNK masih sedikit positif bagi 2015,” katanya.
Bagi rakyat seperti Izwan dan S Guna, mereka bimbang inflasi lebih tinggi kesan daripada GST akan menjejaskan pendapatan perniagaan mereka, apatah lagi bajet bulanan keluarga masing-masing.
“Saya tahu GST akan datang pada April tetapi mengapa harga sudah mula naik sekarang?
“Kawan saya yang hendak beli motosikal baru-baru ini juga beritahu caj bayaran sudah dinaikkan,” kata Guna, seorang peguam separuh masa di Brickfields, Kuala Lumpur.
Izwan, yang menjalankan perniagaan perkhidmatan kurir di Subang berkata walaupun harga minyak rendah, harga barangan masih lagi tidak murah.
“Lebih teruk lagi apabila GST dilaksanakan nanti saya terpaksa menaikkan harga saya. Ini akan menyebabkan pelanggan saya bising kenapa ada kenaikan harga kerana mereka tidak faham GST,” katanya yang enggan memberikan nama penuhnya.
Potong projek mega bukan bantuan
Walaupun Putrajaya berkata GST akan bantu mengisi tabung negara ketika hasil minyak menurun, Yin dan Azrul berkata, beban akibat pelaksanaan itu melebihi manfaat yang akan diterima.
“Kekeliruan mengenai GST nampaknya bermakna kelewatan pengumpulan hasil. Ia juga mempunyai kesan muram kepada kepenggunaan selepas ia dilancarkan, bermakna perniagaan akan lebih terjejas jika keadaan ekonomi global semakin teruk pada pertengahan kedua 2015,” kata Yin.
Azrul berkata cukai seperti GST hanya bermakna kurang pendapatan boleh guna kepada keluarga berpendapatan rendah ketika ekonomi teruk.
Sebaliknya, Yin berkata pemotongan pembaziran dan ketirisan secara serius dalam perbelanjaan kerajaan seperti disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara boleh menjimatkan dan membantutkan hasil daripada GST.
Dia juga mendesak jika bajet Jabatan Perdana Menteri yang banyak dikurangkan, kerajaan boleh membebaskan dana dalam julat digit berganda bilion.
Program yang sesuai dipotong ialah seminar ideologi oleh Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), dan jawatan menteri dan timbalan menteri tanpa portfolio, kata Yin.
Hingga harga minyak melonjak semula dan ringgit bertambah kukuh, Azrul berkata kerajaan sepatutnya juga menangguhkan projek besar yang memerlukan dana besar dan bahan import.
“Saya menjangkakan respons kerajaan berlegar sekitar kawalan perbelanjaan dan pembendungan, dengan komitmen serius untuk menyingkirkan perbelanjaan yang tidak perlu, tidak produktif, tidak berkesan seperti pembaziran, ketirisan dan elemen rasuah,” katanya.
Tetapi perbelanjaan awam yang berhati-hati, kata mereka, tidak sepatutnya sehingga memohon perbelanjaan perkhidmatan sosial yang pada penghujungnya boleh membantu ekonomi.
“Jika harga minyak dan pertumbuhan jatuh, tanggungjawab semakin berat kepada perbelanjaan awam untuk menjana kesan berganda – iaitu, dikitar semula kepada ekonomi dan merangsang permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan,” kata pensyarah ekonomi di Universiti Malaya Dr Lee Hwok Aun.
Bantuan kepada penganggur dan orang miskin selain kaedah menaikkan gaji tidak sepatutnya dihentikan,” kata Lee.
Yin berkata, pemotongan perkhidmatan sosial memberi kesan pemusnah terhadap pertumbuhan seperti yang berlaku di negara Eropah, Afrika dan Amerika Latin
sumber
No comments: