» » Alasan SPAD 'Biarkan' tambang bas sekolah di M'sia naik meroket menggila Tidak Masuk Akal


Alasan yang dikemukakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk tidak memperkenalkan semula harga siling tambang bas sekolah kerana kebanyakan pengusaha tidak mematuhinya disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, SPAD sebagai badan yang bertanggungjawab memantau industri pengangkutan awam di negara ini seharusnya mengambil tindakan terhadap pengusaha yang tidak mematuhi harga siling yang ditetapkan.

"Alasan yang diberikan tidak masuk akal sama sekali. Kalau ada pengusaha yang tidak patuh (harga siling), SPAD patut ambil tindakan... senarai hitamkan pengusaha dan bukannya memansuhkan harga siling," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau, alasan tersebut juga seolah-olah menunjukkan SPAD gagal dalam melaksanakan peranannya.

"Sepatutnya mereka melakukan pemantauan dan penguatkuasaan dengan lebih kerap supaya perkara tersebut tidak terjadi. Itulah peranan SPAD tetapi mereka ibarat 'melepaskan batuk di tangga'," katanya.

Mohamad Ali berkata, SPAD turut didakwa sengaja 'lepas tangan' apabila mengambil pendirian untuk tidak campur tangan dalam isu tersebut dan memberi kebebasan kepada pengusaha bas dan ibu bapa untuk menentukan harga.

"Mereka (SPAD) sepatutnya memastikan kesemua pihak mendapat manfaatnya, tetapi dalam kes ini saya lihat ibu bapa yang akhirnya menjadi mangsa keadaan," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan penamatan skim penggantungan bas sekolah baru-baru ini, beliau berkata, skim bantuan tersebut sepatutnya diteruskan sejajar dengan usaha SPAD demi memastikan industri bas sekolah yang mapan.

"SPAD harus tunaikan janji mereka untuk bantu pengusaha bas sekolah agar industri ini terus mapan. Malah mereka juga boleh berbincang dengan industri perbankan untuk mencari jalan penyelesaian kepada perkara tersebut," katanya.

Beliau berkata, tindakan tersebut dilihat mengeruhkan lagi keadaan yang sememangnya sudah keruh ketika ini.

"Dengan pelbagai masalah yang timbul ini sedikit sebanyak menjejaskan imej SPAD sekali gus menimbulkan rasa sangsi di kalangan orang ramai mengenai fungsi sebenar suruhanjaya itu," katanya.

Baru-baru ini, mStar Online melaporkan SPAD menamatkan Skim Penggantian Bas Sekolah berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pengusaha bas sekolah memandangkan ia akan memberi kesan kepada kira-kira 5,000 pengusaha yang memiliki bas sekolah berusia melebihi usia 25 tahun.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata, berikutan penamatan skim itu, dikhuatiri 500,000 pelajar di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah akan berhadapan masalah untuk pergi dan balik dari sekolah.

"Jika tiada sistem baharu menggantikan skim pinjaman tersebut, kira-kira 500,000 pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut akan terjejas," katanya.

Sementara itu, Mohamad Ali turut mengulangi cadangannya agar setiap sekolah mengikut jejak langkah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang melantik syarikat bas sekolah tertentu untuk beroperasi di sekolah masing-masing bagi mengelak lebih banyak masalah timbul pada masa hadapan.

"Soal perlaksanaan sistem ini boleh dibincangkan menerusi mesyuarat PIBG di sekolah masing-masing. Saya rasa ia tidak jadi masalah kerana sistem tersebut telah digunapakai di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebelum ini," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .