» » 'AirAsia QZ8501 mungkin meletup di laut'


Satu pasukan penyelam tentera laut Indonesia mengesan kedua-dua kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa dua minggu lalu, dan pesawat itu dipercayai meletup ketika ia menjunam ke dalam laut, lapor akhbar United Kingdom (UK) The Guardian.

Media itu melaporkan pegawai Indonesia hari ini mengumumkan kotak hitam pertama, perakam data pesawat yang ditemui di Laut Jawa itu akan dianalisis dan mungkin akan dihantar ke Jakarta.

Penerbangan QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas pada 28 Disember ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan ketika cuaca buruk ketika dalam perjalanan yang dijadualkan mengambil tempoh 2 jam itu.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia Bambang Soelistyo pada sidang media hari ini berkata perakam data itu ditemui di bawah sayap pesawat yang sudah pecah.

“Pada 7.11 pagi, kami berjaya mengangkat sebahagian kotak hitam iaitu perakam data pesawat,” katanya seperti dilaporkan media itu.

Koordinator operasi agensi itu Syriyadi Bambang Supriyadi berkata, satu lagi bahagian kotak hitam iaitu perakam data kokpit juga dikesan tetapi ia tersangkut di bawah serpihan bangkai pesawat yang berat dan penyelam masih cuba mengangkatnya.

The Guardian melaporkan, pegawai Indonesia berharap kotak hitam itu akan memberikan maklumat punca pesawat berkenaan terhempas sementara biro meteorologi negara itu berkata ribut mungkin faktor kejadian itu.

Supriyadi dipetik sebagai berkata analisis awam terhadap serpihan bangkai pesawat yang ditemui setakat ini menunjukkan ia meletup akibat kesan hentaman dengan air.

“Ia meletup kerana tekanan,” katanya kepada media di Pangkalan Bun, di Kalimantan.

“Kabin pesawat itu berada di bawah tekanan dan sebelum ia dapat distabilkan, ia menjunam ke bawah – boom. Ada yang mendengar bunyi letupan di kawasan itu,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.

Antara.com melaporkan perakam data kokpit pesawat itu dipercayai terpisah kira-kira 20 kilometer dari lokasi penemuan perakam data pesawat yang berjaya ditemui pagi tadi.

Supriyadi berkata ada 3 pasukan penyelam yang masing-masing dianggotai antara 5 hingga 7 orang dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua bahagian daripada kotak hitam pesawat itu.

Media itu melaporkan, terdahulu kapal Baruna Jaya I merakamkan ping dipercayai dari kotak hitam QZ8501 pada frekuensi 37.5 kilo hertz.

Kedudukan pantulan ping datang dari arah 52.1 darjah, jarak 77.7 meter dan kedalaman 35 meter, menurut Antara.com.

The Gurdian melaporkan penyiasat berkata tempoh 2 minggu diperlukan untuk memuat turun data daripada perakam data pesawat itu untuk dianalisis tetapi maklumat mungkin boleh diperolehi dalam 2 hari jika alat itu tidak rosak teruk.

Bambang bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut keadaan perakam data pesawat yang ditemui itu, lapor media itu.

Sepanjang hujung minggu lalu, 3 kapal mengesan ping dipercayai dari penghantar pengesan kecemasan kotak hitam itu. Tetapi angin kuat, arus deras dan ombak tinggi menghalang usaha mencari.

Cuaca lebih tenang hari ini di Laut Jawa memberi kelebihan kepada penyelam tentera laut Indonesia untuk mendapatkan perakam pesawat itu dan mencari fiuslaj Airbus A320-200 malang berkenaan.

Setakat ini, 48 mayat ditemui di Laut Jawa dan pasukan pencari percaya banyak lagi akan ditemui dalam fiuslaj pesawat itu.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .