» » 'UMNO punca Melayu mengemis sokongan untuk memerintah'


Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa bahawa bangsa Melayu terpaksa mengemis daripada bangsa lain di negara ini kerana berpunca daripada sistem pentadbiran yang diamalkan oleh Umno. 

Mengulas mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan parti politik Melayu di negara ini terpaksa mengemis dengan bangsa lain, Mahfuz berkata kenyataan itu seperti membuka aib dan kelemahan Umno sendiri.

Malah, Mahfuz turut mempersoalkan bagaimana perkara itu boleh berlaku memandangkan selama ini jawatan eksekutif di negara ini serta institusi diraja terdiri daripada bangsa Melayu.

Justeru, Mahfuz nengumpamakan dakwaan yang dibuat Mahathir itu seperti "menepuk air dulang, terpercik ke muka sendiri".

"Dalam keadaan sedemikian rupa, bangsa Melayu masih dikatakan sebagai "pengemis kuasa", maka adalah tidak salah untuk kita mengatakan atas sebab kegagalan Umno lah sebagai punca berlakunya masalah yang didakwa ini.

"Apa yang beliau ceritakan itu tidak lebih kepada membuka aib dan kelemahan Umno yang memerintah selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, PAS meminta supaya rakyat di negara ini meninggalkan budaya politik rimba yang didakwanya diamalkan oleh Umno selama ini.

Mahfuz mendakwa, selama ini politik rimba yang digunakan ialah dengan menggunakan kuasa sebagai ancaman untuk menakutkan orang ramai yang berani memberi pandangan dan teguran yang benar.

"Pada era globalisasi ini taktik politik sedemikian sudah lapuk ditelan zaman dan orang sudah beralih kepada politik baru yang berasaskan nilai dan hujah yang benar," katanya lagi.

Sabtu lalu, dalam ucapan perasmian di satu seminar, Mahathir berkata orang Melayu yang membentuk 60 peratus daripada jumlah penduduk sepatutnya memenangi pilihan raya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak terjadi kerana Melayu kini terpisah kepada tiga kumpulan.

Justeru, katanya, kaum Melayu terpaksa mengemis dan meminta pertolongan daripada kaum lain terutama golongan Cina untuk mendapatkan sokongan.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .