» » UMNO P.Pinang sokong cara Najib Razak kendalikan 1MDB


Terperangkap dalam keadaan yang janggal apabila timbalan ketuanya membuat laporan polis terhadap dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Umno Bahagian Batu Kawan semalam menjelaskan kedudukan mereka kepada presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ahli jawatankuasa bahagian itu bertemu perdana menteri menyatakan yang mereka tidak terlibat dalam laporan polis Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Jumaat lepas di Kuala Lumpur.

Katanya, bahagian itu cuba menghubungi Najib, yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, selepas Khairuddin membuat laporan polis, yang mendorong siasatan dimulakan terhadap syarikat yang dibebani hutang itu.

"Bahagian ini tidak terlibat sama sekali dan ahli jawatankuasanya memberi jaminan kepada perdana menteri yang mereka menyokong cara beliau mengendalikan ekonomi negara dan 1MDB," katanya kepada media tanpa memberi maklumat lanjut tentang pertemuan itu.

Zainal, yang bercakap pada satu program bantuan rumah persekutuan di Kampung Sungai Kechil Bintang di Nibong Tebal berkata, jawatankuasa bahagian itu melakukan carian dalam talian mengenai 1MDB dan mendapati yang laman web lembaga itu mempunyai jawapan kepada isu yang dibangkitkan Khairuddin.

"Mereka berpuas hati dengan maklumat yang mereka dapat. Jawatankuasa itu berkata, mereka akan menulis kepada lembaga itu jika mereka mempunyai pertanyaan mereka sendiri.

"Ini bagus. (Ia menunjukkan) kerajaan telus dan tiada apa hendak disembunyikan. Sesiapa yang tidak berpuas hati boleh tulis surat dan tanya soalan," katanya.

Zainal berkata, ahli jawatankuasa bahagian Batu Kawan juga akan berbincang dengan Khairuddin mengenai perkara itu.

Dalam laporan polisnya, Khairuddin meminta siasatan "terperinci dan menyeluruh" dibuat, dan menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah dan wakil mana-mana syarikat yang mungkin terlibat dalam skandal 1MDB.

Katanya, beliau membuat laporan terhadap 1MDB dan lembaga pengarahnya selepas mengkaji laporan media cetak tempatan dan antarabangsa serta media online yang mempunyai bukti jelas terdapat kelemahan dalam pengurusan dana pembayar cukai syarikat itu.

Ditanya sekiranya Khairuddin pernah membangkitkan kebimbangannya terhadap 1MDB sebelum ini, Zainal berkata ia tidak pernah ditimbulkan dan isu itu malah tidak dibincangkan semasa mesyuarat perwakilan Bahagian Batu Kawan beberapa bulan lepas.

"Beliau tidak pernah hantar surat kepada kami mengenai kebimbangannya. Biasanya ahli kami akan menulis surat kepada kepimpinan negeri sekiranya mereka bimbang tentang sesuatu perkara atau hendak mengutarakan sebarang cadangan.

"Kami akan baca surat itu dan sekiranya tidak boleh menangani persoalan atau isu yang ditimbulkan, kami akan panjangkan surat itu ke pihak yang berkenaan... Itu cara kami bekerja di peringkat dalaman bagi menyelesaikan sesuatu perkara," katanya.

Sambil menegaskan yang Umno ialah parti yang mendengar suara ahlinya, Zainal berkata Umno tidak akan melarang ahli parti menyuarakan pendapat atau kritikan dan tidak menyembunyikan masalah supaya ia tidak dibangkitkan.

"Kita ada prosedur dan saluran dalaman untuk semua itu, tetapi dalam kes ini, Khairuddin tidak menggunakan semua saluran itu. Dia terus pergi ke polis dan media," katanya.

Beliau juga berkata, tidak timbul isu sama ada Khairuddin dilarang bercakap mengenai 1MDB semasa Perhimpunan Agung Umno bulan lepas.

"Setiap negeri hantar tiga perwakilan untuk berucap. Khairuddin tidak terpilih. Namanya tidak tercalon pun," katanya.

Selepas perhimpunan, bekas presiden parti Tun Dr Mahathir Mohamad menegur Umno kerana tidak membincangkan isu itu semasa mesyuarat perwakilan walaupun ia melibatkan wang rakyat.

Ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil terhadap Khairuddin, Zainal berkata Umno Pulau Pinang perlu mengkaji peraturannya dan melihat sama ada beliau ada melanggar sebarang kod etika dalam parti.

"Dia buat laporan polis terhadap syarikat. Dia bukannya ancam, maki atau hentam presiden parti," katanya.

1MDB mendapat perhatian akhir-akhir ini selepas pemimpin pembangkang mendedahkan hutangnya yang besar, penglibatannya dalam urusan tanah meragukan dan unsur kerahsiaan dalam transaksinya.

Mahathir sebelum ini secara terbuka mengkritik Najib dan mempersoalkan dana kekayaan negara kedua selepas Khazanah Nasional Bhd itu, yang merupakan idea Najib, meminta Putrajaya menerangkan bagaimana 1MDB memberi manfaat kepada rakyat memandangkan ia menanggung RM38 bilion hutang dalam tempoh hanya lima tahun beroperasi.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .